BANDAR RAYA MEXICO: Destinasi pelancongan popular, Puerto Vallarta di Mexico bertukar menjadi medan perang apabila kumpulan kartel bertindak balas dengan melancarkan serangan ganas susulan kematian pemimpin utama mereka dalam satu operasi ketenteraan.
Keadaan kucar-kacir itu tercetus selepas tentera Mexico menyerbu bandar Tapalpa, kira-kira 270 kilometer dari Puerto Vallarta pada awal pagi semalam bagi menghapuskan Nemesio ‘El Mencho’ Oseguera Cervantes.
Menurut pegawai kanan kerajaan, Nemesio merupakan ketua Kartel Generasi Baharu Jalisco (CJNG), salah satu kumpulan jenayah paling berkuasa di Mexico yang menjadi dalang utama penyeludupan dadah jenis methamphetamine dan fentanyl ke Amerika Syarikat (AS).
Gambar-gambar dan video yang tular di media sosial memaparkan pemandangan ngeri dengan deretan bas termasuk kenderaan meletup serta dijilat api, menyebabkan asap hitam tebal menyelubungi ruang udara bandar tersebut.
Penduduk tempatan turut melaporkan kehadiran samseng bersenjata yang menunggang motosikal sambil melepaskan tembakan rambang.
Video yang dimuat naik ke platform Instagram dan X memaparkan pertempuran sengit antara pasukan keselamatan Mexico dengan ahli-ahli kartel yang bersenjata lengkap.
Keganasan dilaporkan merebak ke beberapa kawasan utama dalam negeri Jalisco termasuk Guadalajara dan Tapalpa.
Pihak berkuasa menyatakan bahawa mereka kini sedang giat berusaha untuk membendung tindak balas daripada kumpulan kartel tersebut, selain memperkukuh kawalan keselamatan susulan kematian El Mencho.
Sementara itu, Jabatan Negara AS menggesa warganegara Amerika di beberapa kawasan Mexico untuk tinggal di tempat masing-masing susulan keganasan, sekatan jalan raya dan pembatalan penerbangan selepas tentera Mexico menembak mati seorang ketua kartel utama itu.
“Disebabkan operasi keselamatan dan berterusan serta sekatan jalan raya selain aktiviti jenayah yang berkaitan di banyak kawasan Mexico, warganegara AS digalakkan untuk tinggal di tempat masing-masing sehingga diberitahu kelak,” menurut kenyataan daripada seksyen hal ehwal konsular jabatan itu di X.
“Sekatan jalan raya telah menjejaskan operasi penerbangan, dengan beberapa penerbangan domestik dan antarabangsa dibatalkan di Guadalajara dan Puerto Vallarta,” tambah kenyataan itu.
Pada pagi semalam, Gabenor Jalisco, Pablo Lemus Navarro menerusi hantaran di X mengesahkan perkara berkenaan dan pasukan persekutuan telah menjalankan satu operasi di Tapalpa beberapa jam lalu, yang mana ia telah mencetuskan pertempuran di kawasan terbabit.
“Kesan daripada operasi ini juga, di beberapa lokasi di rantau itu serta bahagian lain di Jalisco, terdapat individu yang bertindak membakar dan menghalang laluan kenderaan bagi menghambat tindakan pihak berkuasa.
“Saya telah mengarahkan untuk menubuhkan jawatankuasa keselamatan dengan serta-merta melibatkan pihak berkuasa daripada ketiga-tiga peringkat kerajaan, selain mengaktifkan ‘kod merah’ bagi menghalang sebarang tindakan ganas terhadap penduduk awam,” katanya. – AGENSI/AFP






