TEHERAN: Ketua perunding Iran pada Selasa mengeluarkan ultimatum kepada Amerika Syarikat (AS) supaya menerima syarat dalam cadangan damai 14 perkara Teheran bagi perang di Asia Barat atau bakal menghadapi ‘kegagalan’.
Mesej itu hadir selepas Presiden AS, Donald Trump menolak tawaran balas terbaru Iran dan berkata gencatan senjata rapuh yang berkuat kuasa sejak 8 April kini bergantung kepada talian hayat.
Namun, Mohammad Bagher Ghalibaf berkata, Washington perlu menerima “hak” Teheran jika mahu menamatkan konflik yang berlarutan lebih dua bulan, ketika rundingan damai masih menemui jalan buntu selepas pusingan awal gagal mencapai sebarang kemajuan bulan lalu.
“Tiada pilihan lain selain menerima hak rakyat Iran seperti yang digariskan dalam cadangan 14 perkara itu. Sebarang pendekatan lain akan gagal sepenuhnya; tiada apa selain kegagalan demi kegagalan,” kata Ghalibaf dalam hantaran di X.
“Semakin lama mereka berlengah, semakin banyak pembayar cukai Amerika perlu menanggung kosnya,” tambahnya.
Iran enggan berundur dalam konfliknya dengan Washington dengan pegawai tentera memberi amaran bahawa mereka bersedia bertindak balas terhadap sebarang serangan baharu Amerika.
Teheran turut menyekat trafik melalui laluan perdagangan penting Selat Hormuz sehingga menggoncang pasaran global dan memberinya kelebihan penting, manakala Amerika pula mengenakan sekatan laut terhadap pelabuhan Iran.
Butiran cadangan terbaru AS masih terhad tetapi laporan media menyebut ia melibatkan memorandum persefahaman satu halaman yang bertujuan menamatkan pertempuran dan mewujudkan rangka kerja rundingan mengenai program nuklear Iran.
Kementerian Luar Iran berkata, respons Teheran menuntut penamatan perang di semua medan termasuk Lubnan, penghentian sekatan laut AS terhadap pelabuhan Iran dan pembebasan aset Iran yang dibekukan di luar negara di bawah sekatan lama.
Ia bagaimanapun tidak memperincikan apa yang akan ditawarkan Iran sebagai balasan.
Pada Selasa, jurucakap Suruhanjaya Keselamatan Negara Parlimen Iran berkata, ahli parlimen akan mempertimbangkan kemungkinan memperkaya uranium ke tahap gred senjata jika konflik tercetus semula.
“Salah satu pilihan Iran sekiranya berlaku serangan baharu ialah pengayaan 90 peratus. Kami akan menelitinya di parlimen,” tulis Ebrahim Rezaei dalam hantaran di X.
Teheran memiliki simpanan besar uranium yang diperkaya sehingga ketulenan 60 peratus, sedangkan kira-kira 90 peratus diperlukan untuk menghasilkan senjata nuklear.
Simpanan uranium diperkaya tahap tinggi Iran kekal menjadi isu utama dalam rundingan dengan Amerika yang menyatakan bahan itu mesti dipindahkan keluar dari negara tersebut.
Iran setakat ini enggan memindahkan simpanan uranium diperkayanya ke luar negara dan menyatakan haknya untuk menggunakan tenaga nuklear secara aman, walaupun ia menyatakan tahap pengayaan masih boleh dirundingkan. – AFP






