WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) semakin agresif mengambil tindakan terhadap Iran yang enggan tunduk kepada tekanan Washington untuk mencapai perjanjian damai sejak perang bermula 28 Februari lalu.
Tindakan yang kian agresif itu termasuk kerajaan AS membenarkan tenteranya untuk mengekalkan sekatan ke atas Pelabuhan Iran selama yang diperlukan tanpa menetapkan tempoh bila ia akan berakhir.
Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Pete Hegseth menyatakan demikian ketika negaranya dilaporkan bersiap sedia untuk menghantar sebuah lagi kapal pengangkut pesawat, USS George Washington ke Asia Barat.
Beliau berkata, Washington mempunyai keupayaan untuk mengekalkan sekatan terhadap pelabuhan Iran tanpa had masa melalui penggiliran aset tentera laut secara berterusan.
Bercakap kepada pemberita di Panama selepas menghadiri upacara penutupan latihan ketenteraan multinasional, Hegseth berkata, tiada angkatan laut lain mampu menandingi kekuatan armada AS di perairan rantau itu.
Beliau menyifatkan operasi berkenaan sebagai satu demonstrasi kekuatan tentera laut yang belum pernah berlaku sebelum ini.
“Kami boleh mengekalkan sekatan itu selama yang diperlukan. Tentera Laut AS boleh mengekalkan sekatan seperti itu tanpa had masa kerana kami akan terus mengatur penggiliran kapal keluar dan masuk.
“Tiada negara atau angkatan laut lain di dunia mempunyai keupayaan membentuk ‘tembok besi’ seperti Tentera Laut AS, apatah lagi kesediaan untuk menggunakannya seperti yang kami lakukan,” katanya.
Hegseth memberi amaran Iran mungkin terus dihalang daripada menggunakan laluan perairan berkenaan.
“Jadi, Iran tahu mereka tidak boleh keluar masuk melalui sekatan ini dan mereka juga tahu tiada tempoh masa ditetapkan untuknya,” katanya.
Pada April, AS dan Iran mengadakan rundingan secara bersemuka, dengan Naib Presiden Amerika JD Vance dan Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf menghadiri rundingan di Islamabad.
Pada 17 Jun, kedua-dua pihak menandatangani memorandum persefahaman (MoU) secara jarak jauh, yang sepatutnya memulakan proses rundingan selama 60 hari.
Bagaimanapun, pelbagai perselisihan menghalang proses tersebut daripada dimulakan dan rundingan terhenti sejak itu.
Namun, Presiden AS, Donald Trump pada awal minggu ini mendakwa Washington mempunyai kawalan penuh ke atas Selat Hormuz dan berikrar untuk mengekalkan kehadiran tentera laut AS di kawasan berkenaan.
Pada Selasa, tentera AS menyasarkan sebuah kapal berbendera Panama yang menurut mereka sedang menuju ke pelabuhan Iran di Teluk Oman dan didakwa gagal memberi respons terhadap amaran yang diberikan.
Bagaimanapun, Iran menolak dakwaan Washington mengenai penguasaannya terhadap laluan perairan strategik itu.
Teheran menyifatkannya sebagai pembohongan dan rekaan tidak berasas.
Pada Khamis, Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent berkata, Washington akan mengumumkan langkah ekonomi baharu terhadap Iran minggu depan, yang disifatkannya sebagai antara tindakan pengasingan ekonomi paling drastik pernah dikenakan terhadap sesebuah negara.
Penganalisis berpendapat, AS mungkin perlu memenuhi sebahagian tuntutan Iran sebelum perjanjian damai dicapai ketika Washington berdepan tekanan domestik dan kebimbangan mengenai kemerosotan bekalan peluru pertahanan yang mendorong Trump tidak melaksanakan serangan berskala besar yang sebelum ini diancam terhadap Teheran.
Masa depan usaha diplomatik kedua-dua negara juga dilihat semakin malap apabila masing-masing berbalas kenyataan dan provokasi ketika tekanan ekonomi dan ketegangan berhubung Selat Hormuz terus meningkat.






