SEOUL: Presiden Korea Selatan, Lee Jae-myung mengecam penyingkiran awal pasukan kebangsaan bola sepak negara itu daripada Piala Dunia pada Ahad dengan menyalahkan individu yang tidak berwibawa dan memohon maaf kepada rakyat.
Kempen Korea Selatan yang penuh bergelora dalam Piala Dunia di Amerika Utara berakhir seawal peringkat kumpulan dan berkemungkinan membawa kepada persaraan kapten pasukan, Son Heung-min, daripada arena bola sepak antarabangsa.
Selepas menunggu selama tiga hari dengan harapan dapat mara ke pusingan kalah mati sebagai salah satu daripada lapan pasukan di tempat ketiga terbaik, keputusan perlawanan lain akhirnya tidak memihak kepada Korea Selatan.
Jurulatih yang semakin tidak popular, Hong Myung-bo kemudian meletakkan jawatan, manakala presiden negara itu berjanji akan melaksanakan reformasi menyeluruh dalam pentadbiran sukan.
“Apabila kesetiaan dan kronisme lebih dihargai daripada kecekapan dan individu yang tidak berwibawa dilantik ke jawatan kepimpinan, keputusan seperti ini hampir tidak dapat dielakkan,” kata Jae-myung menerusi hantaran di platform X.
“Saya memohon maaf sedalam-dalamnya kepada rakyat atas kekecewaan besar yang berpunca daripada keputusan tidak boleh diterima ini.
“Kami akan bertindak segera untuk mereformasi pentadbiran sukan bagi memastikan perkara seperti ini tidak berulang lagi,” tambahnya tanpa memperincikan langkah yang bakal diambil.
Korea Selatan hampir pasti layak ke pusingan 32 terbaik sebelum dikejutkan dengan kekalahan 1-0 kepada Afrika Selatan yang berada di kedudukan lebih rendah dalam ranking dunia.
Myung-bo turut menerima kecaman selepas membuat keputusan mengejutkan dengan meletakkan Heung-min di bangku simpanan, satu pertaruhan yang akhirnya memakan diri.
Korea Selatan menamatkan saingan di tempat ketiga Kumpulan A di belakang tuan rumah bersama, Mexico dan Afrika Selatan, selepas tewas 1-0 kepada Mexico.- AFP






