WASHINGTON: Hubungan baik antara Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dengan Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un telah menyebabkan Jabatan Pertahanan AS atau Pentagon diarahkan mengurangkan latihan ketenteraan dengan Korea Selatan, hanya beberapa jam sebelum ia dijadualkan bermula semalam.
Tambahan pula Trump berkata, keputusan itu tidak berpuas hati kerana AS sejak sekian lama bersetuju untuk menyertai latihan bersama Korea Selatan.
“Latihan itu bukan sahaja menelan kos tinggi, dengan sebahagian besar kos ditanggung AS (seperti biasa), malah turut menghantar isyarat yang sama sekali tidak wajar dan bermusuhan kepada sebuah negara yang sepanjang Donald Trump menjadi Presiden, tidak mengancam dan menghormati (Korea Utara),” tulis Trump di Truth Social.
Menurutnya, sudah terlambat untuk AS membatalkan latihan itu sepenuhnya menyebabkan beliau mengarahkan Setiausaha Perang, Pete Hegseth, untuk mengurangkannya secara ketara.
Latihan Ulchi Freedom Shield (UFS) selama 11 hari itu dijadualkan berlangsung sehingga 27 Ogos, melibatkan kira-kira 18,000 anggota tentera Korea Selatan dan 5,000 askar AS.
Semasa penggal pertama sebagai Presiden, Trump berusaha memperbaiki hubungan dengan Korea Utara selepas bertahun-tahun tegang, termasuk bertemu Jong-un sebanyak tiga kali dan mengurangkan beberapa latihan ketenteraan bersama Seoul.
Pada 2019, Trump menjadi Presiden AS pertama yang sedang memegang jawatan memasuki Korea Utara apabila beliau bertemu Jong-un di Zon Demiliterisasi (DMZ).
Bagaimanapun, hubungan kedua-dua negara kembali merosot selepas usaha diplomasi menemukan jalan buntu.
Trump turut mengkritik Seoul berhubung keengganannya menyertai kempen Washington menentang Iran.
“Walaupun agak tidak berkaitan, saya pernah bertanya kepada Presiden Korea Selatan sama ada mereka mahu menyertai kami dan mereka menjawab ‘Tidak, terima kasih!,” tulis Trump.






