WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menjangkakan satu perjanjian dengan Iran bagi melanjutkan gencatan senjata dan membuka semula Selat Hormuz dapat dicapai dalam tempoh minggu hadapan, ketika usaha diplomatik berdepan ‘gangguan’ susulan ketegangan di Asia Barat.
Dalam temu bual telefon bersama ABC News pada Isnin beliau berkata, perkembangan rundingan adalah positif meskipun terdapat beberapa ‘masalah’ yang dicetuskan daripada ketegangan antara Israel dan Hizbollah.
Ditanya bila perjanjian dan memorandum persefahaman dimuktamadkan selepas perang dimulakan AS bersama Israel pada 28 Februari sebelum gencatan senjata dipersetujui pada 7 April,, Trump menyatakan keyakinan ia boleh dicapai dalam tempoh seminggu akan datang
“Nampaknya positif. Terdapat sedikit masalah hari ini (kelmarin), tetapi saya berjaya menyelesaikannya dengan cepat, seperti yang anda mungkin perasan sebelum ini,” katanya dalam temu bual telefon bersama ABC News.
Trump mendakwa, ‘masalah’ yang dimaksudkan adalah rasa tidak puas hati pihak Iran terhadap serangan Israel ke atas Lubnan.
“Jadi, saya bercakap dengan Hizbollah dan saya minta jangan lepaskan tembakan. Saya juga bercakap dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan berkata jangan melepaskan tembakan, kedua-duanya berhenti menembak antara satu sama lain,” katanya.
Trump berkata, perjanjian damai dengan Iran berpotensi menjadi ‘lebih baik daripada kemenangan ketenteraan’.
“Ia bukan sesuatu yang mudah. Kita bercakap mengenai sebuah negara yang sangat besar, mereka sebuah negara yang sangat besar untuk membuat perjanjian. Terdapat permusuhan yang amat mendalam, benar-benar mendalam.
“Jadi, ia bukan perkara yang mudah bagi mereka. Malah, ia juga tidak mudah dari sudut pandangan kami. Tetapi, kami sedang memperoleh apa yang kami perlukan,” katanya..
Beliau setakat ini belum bersetuju dengan perjanjian samai Iran itu kerana masih perlu mempertimbangkan beberapa perkara lagi.
TERIMA CADANGAN AS
Kelmarin, Lubnan berkata, Hizbollah menerima cadangan AS untuk menghentikan serangan ke atas Israel sebagai pertukaran, rejim Zionis turut menamatkan operasi ketenteraan ke atas selatan Beirut, selepas Trump mengadakan panggilan ‘sangat baik’ dengan kumpulan itu.
Berdasarkan perjanjian itu serangan Israel ke atas Dahiyeh, kawasan pinggir selatan Beirut, akan dihentikan sebagai pertukaran kepada kumpulan tersebut tidak melancarkan serangan terhadap Israel.
Israel sebelum ini mengugut untuk menyerang semula kawasan pinggir selatan ibu negara Lubnan pada Isnin.
Peningkatan ketegangan Israel di Lubnan, termasuk pengeboman berat dan pencerobohan darat, mengancam untuk menggagalkan gencatan senjata antara AS dan Iran dalam konflik lebih meluas di Asia Barat.
Trump mendakwa, beliau memujuk Israel dan Hizbollah untuk meredakan ketegangan.
RUNDINGAN TERHENTI
Seorang pegawai tentera kanan Iran pada Selasa berkata, penyambungan semula konflik dengan AS tidak dapat dielakkan, ketika Teheran pada Isnin dilaporkan menghentikan runidngan dengan Washington kerana Israel menyerang Lubnan.
“AS menuntut penyerahan sepenuhnya daripada kami dan rakyat Iran tidak akan sesekali menyerah. Tanpa penyerahan, perang tidak dapat dielakkan,” kata Timbalan Komander Markas Pusat Khatam al-Anbiya Iran, Mohammad Jafar Assadi.
Iran setakat ini masih belum memberikan respons terhadap cadangan perjanjian akhir dengan AS yang bertujuan menamatkan konflik antara kedua-dua negara, manakala perbincangan mengenai draf akhir masih diteruskan di Teheran, menurut sumber rapat dengan pasukan Iran kepada Mehr News semalam.
Sumber itu berkata, Iran menilai cadangan tersebut dengan berhati-hati berikutan sejarah ketidakpatuhan AS dan rasa tidak percaya yang berpanjangan.
“Berdasarkan pengalaman sebelum ini, Iran mencari manfaat yang nyata dan sebenar,” kata sumber berkenaan.
Agensi berita kerajaan Iran, Tasnim, sebelum ini melaporkan Teheran menghentikan rundingan tidak langsung dengan AS selepas Israel mengarahkan tenteranya mara lebih jauh ke Lubnan.
Dalam temu bual telefon dengan beberapa media selepas laporan itu, Trump mendakwa, beliau tidak dimaklumkan Iran menggantung rundingan dengan Washington.
“Mereka tidak memaklumkan perkara itu kepada kami,” kata Trump dalam temu bual dengan NBC News.
Trump berkata, tempoh tanpa komunikasi antara kedua-dua pihak adalah tidak menjadi masalah dan bersedia untuk menunggu.
“Saya rasa kita sudah terlalu banyak bercakap jika mahu tahu perkara sebenar. Saya fikir berdiam diri adalah sesuatu yang sangat baik dan ia boleh berterusan untuk tempoh yang lama,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, penggantungan rundingan tidak bermakna AS akan mula mengebom Iran, sambil menambah bahawa sekatan AS ke atas pelabuhan Iran akan terus dikekalkan






