DOHA: Kumpulan pejuang Palestin, Hamas menyambut baik gesaan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump supaya Israel menghentikan serangan terhadap Gaza dan menggesa beliau menekan Israel supaya melaksanakan fasa kedua pelan damai Gaza.
“Kenyataan itu mengesahkan komitmen Presiden Trump terhadap usaha meneruskan gencatan senjata,” kata jurucakap Hamas, Hazem Qassem dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau turut menggesa pemimpin AS itu supaya menekan Israel agar mematuhi apa yang telah dipersetujui bagi memulakan fasa kedua pelan damai Gaza.
Terdahulu, Trump berkata: “Israel tidak sepatutnya menyerang Gaza. Hamas bersetuju untuk menyerahkan senjata mereka.”
Trump turut berkata, AS mempunyai saluran komunikasi berasingan dengan Hamas.
“Kami mempunyai saluran yang berbeza dengan Hamas dan akhirnya mereka akan menyerahkan senjata mereka,” katanya.
Penasihat dan menantu Trump, Jared Kushner pada Isnin memulakan pertemuan yang telah dirancang dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Israel untuk membincangkan gencatan senjata di Gaza, menurut laporan media Israel.
Kushner disertai utusan utama Lembaga Keamanan bagi Gaza, Nickolay Mladenov dan anggota lembaga dan bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair dalam pertemuan itu, lapor The Times of Israel, yang memetik sumber tanpa nama.
Sumber itu berkata, perbincangan tertumpu kepada usaha meneruskan semua elemen (pelan 15 perkara Presiden Trump)”, dan bukannya mendapatkan tandatangan Tel Aviv terhadap pelan tersebut.
Perbincangan itu berlangsung selepas Kushner, bersama Mladenov dan Blair, mengunjungi ibu negara Mesir, Kaherah, pada Ahad dan bertemu pegawai Hamas untuk mengadakan perbincangan yang sama.
Pada Oktober 2023, Israel melancarkan serangan besar-besaran di Gaza yang telah mengorbankan lebih 73,000 orang dan mencederakan lebih 174,000 yang lain.
Walaupun gencatan senjata yang dimeterai sejak Oktober 2025 sebagai sebahagian daripada fasa pertama pelan Gaza Trump masih berkuat kuasa, Israel terus melancarkan serangan di wilayah Palestin itu, mengorbankan sekurang-kurangnya 1,260 orang dan mencederakan lebih 4,100 yang lain, menurut Kementerian Kesihatan Gaza. – AGENSI






