KUALA LUMPUR: Enam ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dipercayai tidak mempertahan kerusi mereka pada Pilihan Raya Umum (PRU15) sekali gus mencetuskan persoalan tentang survival parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu.
Enam kerusi berkenaan sebelum ini dimenangi atas tiket UMNO pada PRU14.

Mereka adalah ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya; Ahli Parlimen Sungai Besar, Datuk Muslimin Yahaya; Ahli Parlimen Kudat, Datuk Abd. Rahim Bakri; Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Fasiah Fakeh; Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Dun dan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.
Namun, beberapa pemimpin lain seperti ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed, ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin dan ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid dikatakan masih ingin bertanding.

Bagaimanapun, mereka dijangka berdepan laluan sukar mengekalkan kerusi berkenaan susulan kemarahan rakyat kerana tindakan meninggalkan UMNO.
Secara keseluruhannya, seramai 16 ahli Parlimen UMNO melompat parti setelah Barisan Nasional (BN) tewas di tangan Pakatan Harapan (PH) pada PRU14.
Dalam PRU14, Bersatu di bawah pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad bertanding di 52 kerusi Parlimen dan menang 13 daripadanya, seterusnya membentuk kerajaan Persekutuan menerusi gabungan Pakatan Harapan (PH) bersama PKR dan DAP.
Dr. Mahathir kemudiannya meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi Bersatu pada 24 Februari 2020 dan dipimpin Muhyiddin, sekali gus diangkat menjadi Perdana Menteri Malaysia kelapan hasil sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.
Rata-rata ahli Parlimen UMNO yang lompat parti itu diberikan kedudukan tertentu dalam kerajaan dengan memegang jawatan sebagai menteri, timbalan menteri mahupun syarikat berkaitan kerajaan (GLC). – UTUSAN






