PETALING JAYA: Peningkatan kos operasi para penternak ayam menyebabkan mereka terpaksa mengurangkan ternakan sekali gus menyebabkan gangguan bekalan telur di pasaran di beberapa negeri.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya telah mengadakan libat urus antara pengeluar telur bersama beberapa kementerian.
“Kita dapati masalah utama kekurangan bekalan akibat kos operasi pengeluaran yang semakin meningkat dan kerajaan sedang mengambil langkah penyelesaian termasuk membuka ruang permohonan subsidi bagi menampung peningkatan kos di pihak pengeluar,” katanya kepada Nexbyte semalam.
Langkah itu katanya, bertujuan memastikan bekalan telur ayam di seluruh negara mencukupi.
“Para pengeluar telur secara rasmi sudah menyampaikan maklumat kepada beberapa kementerian termasuk mengadu, kos operasi mereka meningkat.
“Malah mereka mengatakan ia lebih daripada harga jualan yang kita kawal sekarang. Sebab itu, kerajaan mengambil kira, kita buat langkah penyelesaian supaya mereka ada ruang memohon subsidi untuk kita bantu. Ini supaya harga kita boleh kekal di peringkat yang sedia ada dan tidak membebankan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu Alexander Nanta Linggi berkata, kerajaan memantau dan menetapkan harga, serta meneruskan subsidi.
“Di pihak KPDNHEP, kami melaksanakan kawalan dan pemantauan di pasaran tentang pengedaran telur. Itu kami laksanakan secara padu, rapi dan sebaik mungkin.
“KPDNHEP dengan sedaya upaya kami akan memastikan supaya bekalan telur ini akan diedarkan ke semua tempat. Memang kita akui, ada kekurangan dalam pemantauan kita. Jadi, untuk membantu pengeluar telur, kerajaan akan meneruskan pemberian subsidi. – UTUSAN






