PETALING JAYA: Tindakan menaikkan subsidi telur ayam kepada 8 sen berbanding kadar 3 sen sebiji sebelum ini, disifatkan hanya langkah pemulihan bersifat jangka pendek.
Justeru, beberapa sumber industri ternakan ayam memberitahu Mingguan Malaysia, kerajaan harus campur tangan secara serius dalam industri ayam dan telur serta dan tidak boleh berterusan memberikan subsidi yang jelas menguntungkan pemain-pemain gergasi industri semata-mata.
Kata sumber, tahun ini saja sejak Februari sehingga Jun, kerajaan telah memperuntukkan sekitar RM730 juta bagi menampung subsidi harga ayam dan telur.
Namun kata sumber, melalui subsidi yang cukup besar itu, kerajaan masih menerima tekanan daripada pemain industri telur ayam untuk menaikkan lagi subsidi sedia ada dari 3 sen kepada 8 sen bagi sebiji telur atas alasan peningkatan harga jagung bijirin dan soya yang diimport untuk menghasilkan makanan ternakan itu.
“Ini bermakna, kerajaan perlu menanggung pertambahan subsidi telur ayam kepada lebih RM90 juta setiap bulan. Sedangkan harga telur dan ayam tak turun-turun dan tetap berada di paras sekarang. Pemain gergasi industri beralasan, mereka perlukan subsidi sebab harga makanan ayam yang tinggi. Di sinilah kerajaan harus campur tangan secara serius,” kata sumber.
Kata sumber, kerajaan perlu melibatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dalam peringkat huluan (upstream) rantaian bekalan. Ini termasuk menceburkan GLC dan GLIC dalam sektor mengimport dan menternak induk ayam pedaging dan penelur, menghasilkan anak ayam, serta menghasilkan sendiri dedak menggunakan bahan tempatan untuk memenuhi keperluan ternakan ayam seluruh negara.
“Faktor induk ayam, anak ayam serta makanan inilah yang menentukan bekalan di pasaran. Di peringkat pemain-pemain gergasi industri, sebab tiada campur tangan kerajaan, maka merekalah yang menguasai peringkat pertama rantaian industri ini.
“Di Malaysia, cuma ada lima pengeluar induk ayam telur, lima syarikat gergasi yang kuasai proses makanan ayam, dan kira-kira 20 saja pengeluar anak ayam. Apabila ini berlaku, maka mereka berkuasa menekan penternak kontrak di bawah mereka. Suka atau tidak, penternak ini perlu akur dengan harga anak ayam dan makanan yang dibekalkan.
“Jadi, kerajaan perlu bijak untuk menceburkan agensi-agensi dalam peringkat huluan industri ternakan ini. Bukan sekadar tubuhkan Federasi Ternakan Ayam seperti yang dibuat Julai lalu, yang itu tujuannya hanya untuk pemasaran, ia cuma menyelia industri peringkat hiliran saja, ” kata sumber.
Pada 3 Oktober, Nexbyte melaporkan kegusaran pemain-pemain industri telur terhadap masalah bekalan induk ayam telur di pasaran. Dalam laporan itu, negara dijangka berdepan krisis telur ayam yang menyusut 40 peratus berbanding keperluan 30 juta biji sehari menjelang bulan November dan Disember.
Ini berikutan bekalan semasa sumber protein itu kini menyusut antara 20 hingga 25 peratus daripada keperluan 30 juta biji sehari sejak dua bulan lalu.
Sementara itu, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) berkata, pemberian subsidi telur hanya akan menambahkan jurang antara pemain industri bumiputera dan bukan bumiputera pada masa hadapan.
Presidennya, Dr. Abdul Halim Husin berkata, ini kerana setakat ini tiada pengeluar utama telur negara ini dalam kalangan bumiputera.
“Industri ayam ini dikuasai oleh kartel-kartel yang kebanyakannya adalah pemain bukan bumiputera. Bumiputera secara keseluruhannya mempunyai kira-kira 12 peratus daripada keseluruhan pengeluaran di seluruh negara. Industri telur tidak ada yang dikeluarkan oleh pemain-pemain b+
umiputera.
“Bantuan kerajaan amat perlu bagi menaikkan bumiputera di dalam industri ayam dan telur ini. Bantuan kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), GLC dan GLIC yang lain perlu diteruskan, tetapi caranya hendaklah ditukar supaya ketirisan tidak terus berlaku,” katanya.
Pada masa sama, Abdul Halim berkata, kerajaan tidak perlu terlibat secara langsung di dalam industri ini, sebaliknya industri lebih memerlukan pemain yang sebenar untuk menjadikan Melayu dan bumiputera dapat bersaing secara sihat.
“Harga ayam di pasaran telah ditentukan oleh kerajaan tetapi harga anak ayam dan makanan tidak ditentukan oleh kerajaan. Itu sebabnya kami mencadangkan jawatankuasa unggas dapat ditubuhkan supaya ia dapat menjaga harga anak ayam dan makanan, supaya ia tidak naik melambung pada masa akan datang,” katanya.- UTUSAN






