PETALING JAYA: Kerajaan dan rakyat perlu menerima hakikat bahawa harga siling telur ayam dalam negara sangat rendah jika dibandingkan dengan negara-negara di rantau Asia Tenggara terutamanya Thailand dan Indonesia.
Pakar ternakan ayam yang juga bekas pensyarah Sains Haiwan, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Azhar Kasim berkata, harga telur ayam bagi gred B di Thailand adalah 47 sen sebiji berbanding 43 sen sebiji di Malaysia.
Dalam masa sama, menurutnya, harga telur ayam bagi gred B di Indonesia pula telah meningkat lagi kepada RM8.82 sekilogram sempena hari Natal dan menjelang tahun baharu 2023 berbanding di Malaysia cuma RM6.88 sekilogram.
“Andaian keluhan penternak ayam mengenai kos produksi telur itu benar, maka jika harga telur ayam diunjurkan naik sebanyak lima sen iaitu kepada harga 48 sen sebiji bagi gred B bersamaan RM7.68 sekilogram sekalipun, ia masih tergolong sebagai sumber protein haiwan paling murah.
“Langkah menaikkan harga telur sebanyak lima sen sebiji akan beri impak besar dalam jangka masa panjang dalam industri ternakan ayam sekali gus meningkatkan bekalan telur dalam negara dan rakyat akan dapat melihat hasilnya dalam lima, enam bulan,” katanya ketika dihubungi Nexbyte.
Terdahulu, sumber industri telur ayam menggesa kerajaan tidak menerima cadangan menaikkan harga telur kerana bukan hanya menjejaskan imej kerajaan, tetapi bakal memberi kesan jangka panjang terhadap kebajikan rakyat.
Mengulas mengenai perkara itu, Azhar berkata, rakyat akhirnya akan menerima hakikat bahawa kos operasi untuk menghasilkan sebiji telur telah.
“Subsidi yang ada pun masih tidak mampu membantu menampung kos operasi telur yang sebenar dan hanya mampu tampung kos makanan sahaja.
“Bagi pengusaha yang menjual telur premium atau ‘designer’, hasil keuntungan mereka dapat menampung sedikit kenaikan kos pada telur biasa tetapi tidak kepada pengusaha telur biasa,” ujarnya.
Tambah Azhar, memang tidak dinafikan, langkah mengkaji semula tatacara penyaluran subsidi dan membasmi kartel telur ayam adalah penting tetapi menaikkan harga telur sememangnya langkah wajib untuk semua pihak.
Katanya lagi, eksport telur tidak boleh dihentikan kerana keuntungan daripada eksport boleh menampung kos tinggi yang ditampung penternak untuk jualan tempatan, malah akan menyebabkan penutupan satu persatu ladang ayam.
Dalam masa sama, Azhar berkata, pengimportan telur ayam perlu dihentikan kerana ada kebarangkalian wabak penyakit ayam yang bahaya masuk ke negara ini sekiranya ujian kesihatan telur itu tidak dilakukan secara menyeluruh.
Mengulas mengenai perbandingan telur tempatan dan import, katanya, telur tempatan sudah pasti lebih segar kerana akan melalui masa dan tahap penghantaran yang singkat sahaja sebelum sampai ke destinasi jualan berbanding telur import.
“Telur import mungkin sudah berusia melampaui 48 jam sebab melalui lapisan tambahan seperti menunggu waktu kuarantin dahulu.
“Telur import juga adalah di bawah kategori gred C dengan harga 50 sen sebiji dan sebanyak 18 biji telur sahaja boleh diperoleh untuk sekilogram manakala telur gred A tempatan yang berharga 45 sen sebiji boleh dapat 15 biji bagi sekilogram,” katanya. – UTUSAN






