KUALA NERUS: Seorang buruh yang dilaporkan hilang ketika memikat burung sejak Isnin lalu mengakui serik untuk menjalankan aktiviti kegemarannya itu selepas terselamat dan berjaya keluar dari hutan Bukit Sudu dekat Kampung Pondok Lalang, di sini, semalam.
Mohd. Azani Alias, 37, berkata, dia terpaksa bertarung nyawa selama hampir seminggu di dalam hutan tebal selepas tersesat kerana terlalu asyik memikat burung secara berseorangan.
“Jika tidak berjaya keluar semalam, mungkin saya akan menemui ajal dalam hutan itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pengkalan Arang, di sini, semalam.
Menurutnya, dia tidak dengar sebarang suara anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR) manakala jeritannya meminta pertolongan juga tidak berbalas.
“Hanya selepas saya ‘berjanji’ untuk berhenti daripada memikat burung dan melepaskan semula haiwan itu, baru saya menjumpai jalan keluar ke arah kebun sawit dan diselamatkan,” ujarnya.
Menurutnya, dia sebelum itu juga sudah kehabisan tenaga setelah terpaksa mendaki bukit yang curam dan tinggi bagi mencari jalan keluar sejak masuk ke dalam hutan tersebut pagi Isnin lalu.
Katanya, dalam tempoh tersebut, hanya air lopak menjadi bekalan minuman sepanjang enam hari sesat di dalam hutan tebal itu selain tidur di atas pokok bagi mengelak bertembung dengan binatang buas.
Tambahnya, dia juga terserempak dengan dua ekor beruang pada hari kedua tersesat dan menemui najis harimau belang.
“Saya sebenarnya mahu balik semula ke tempat saya tinggalkan motosikal, namun bagaikan bingung sehingga tidak jumpa jalan keluar.
“Saya sudah hampir berputus asa dan hanya fikirkan ajal sebelum turun dari bukit dalam keadaan merangkak menuju ke kawasan kebun kelapa sawit.
“Secara kebetulan terdapat seorang lelaki berada di kebun kelapa sawit itu dan membantu membawa saya ke Pos Kawalan Operasi,” ujarnya.
Mohd. Azani memberitahu, dia juga mengalami luka-luka di bahagian badan dan kaki akibat terkena duri pokok rotan serta terpaksa berkaki ayam sepanjang enam hari. – UTUSAN






