MUAR: DAP mengakui peluang Pakatan Harapan (PH) mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada Pilihan Raya Kecil (PRK) seimbang dengan Perikatan Nasional (PN).
Bercakap kepada Nexbyte, Ahli Jawatankuasa DAP Johor, Ng Yak Howe berkata, keraguan itu masih wujud berdasarkan beberapa faktor terutama soal peratusan keluar mengundi dan pendirian pengundi UMNO.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bentayan berkata, jika kedua-dua faktor itu dapat ditangani sewajarnya, PH berpeluang meraih jumlah undi tertinggi pada hari mengundi 9 September ini.
“Setakat ini, peluang untuk kita menang 50-50, masih agak sukar dan mencabar lagi. Kita tak nampak kita mendahului ketika ini sebab ini bergantung kepada peratusan keluar mengundi, kalau pengundi Cina ramai keluar tidak ada masalah.
“Penyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN) juga sama, berapa ramai sebenarnya yang akan menyokong calon kerana penyokong UMNO juga penentu yang penting untuk PRK kali ini,” katanya ketika ditemui.
Bagaimanapun, Yak Howe menaruh kepercayaan kepada UMNO dalam meyakinkan pengundi mereka serta membantu calon sepanjang tempoh berkempen.
“Saya nampak pemimpin UMNO bekerja keras cuba nak yakinkan penyokong mereka menerima, mencuba dan menerangkan kenapa BN bekerjasama dengan PH untuk menubuhkan kerajaan.
“Setakat ini, pengundi PH tahu keadaan ini dan faham kita perlu bekerjasama untuk tubuhkan kerajaan,” katanya.
Beliau juga mengakui calon PN, Dr. Mohd. Mazri Yahya mempunyai peluang untuk meraih sokongan majoriti pengundi Melayu berbanding calon PH, Ir. Ts. Nazri Abdul Rahman, namun berharap pengundi di Simpang Jeram memilih pemimpin tempatan pada PRK kali ini.
“Kalau kita tengok kedua-dua calon ini, memang kita nak seorang wakil rakyat yang anak tempatan, lebih memahami isu tempatan dan senang bertemu pengundi. Namun, kita juga mahukan pemimpin yang terbuka kerana ini masyarakat harmoni, jadi dia bekerja untuk semua orang tidak kira kaum,” katanya. -UTUSAN






