PETALING JAYA: Sebanyak 72 laporan membabitkan kerugian RM88 juta diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan pelaburan i-Serve yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pengasas bersama syarikat penerbangan, MYAirline.
Bercakap kepada Nexbyte, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, terbaharu, pihaknya menerima lima laporan polis daripada pelabur dengan kerugian RM6.31 juta.
“Pasangan suami isteri berusia 58 dan 57 tahun yang direman dua hari kelmarin akan dibebaskan dengan jaminan polis, petang ini.
“Siasatan awal mendapati suspek lelaki iaitu rakan kongsi pengasas bergelar Datuk yang ditahan sebelum ini dipercayai bersekongkol dalam pelaburan tersebut serta rangkaian perniagaan lain,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Nexbyte semalam melaporkan lelaki berusia 58 tahun ditahan di pejabat Jabatan Imigresen Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2) di Sepang dekat sini pada 3.30 pagi, kelmarin sebaik tiba dari luar negara.
Ramli dilaporkan berkata, soal siasat awal mendapati suspek mula berkenalan dan berkawan dengan pengasas MYAirline pada 1995 serta mengakui menubuhkan syarikat i-Serve pada 2019.
“Suspek juga mengaku berperanan sebagai pengarah di beberapa anak syarikat di bawah i-Serve. Polis turut menahan seorang wanita berusia 57 tahun dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Sentul dekat sini pada 4.15 pagi, hari sama.
“Telefon bimbit dan pasport kedua-dua individu tersebut dirampas selain menyita kereta Mercedes pasangan itu. Soal siasat ke atas wanita itu mendapati dia pekerja swasta di sebuah syarikat insurans dan tidak mengaku penglibatan dalam kes yang disiasat polis,” katanya.
Bulan lalu, polis melakukan siasatan terhadap syarikat pelaburan i-Serve serta rangkaian syarikat di bawahnya disyaki terlibat dengan pengubahan wang haram.
Selain pasangan suami isteri itu, seramai lapan individu melibatkan lelaki bergelar Datuk iaitu pengasas syarikat penerbangan bersama isteri dan anaknya, seorang pemegang saham syarikat i-Serve, tiga kakitangan pelaburan itu dan seorang peguam syarikat terbabit ditahan di sekitar Lembah Klang.
Setakat ini, jumlah tangkapan keseluruhan membabitkan pelaburan itu seramai 10 orang dan kira-kira 15 akaun bernilai RM5 juta dipercayai mempunyai kaitan dengan kes tersebut dibekukan.
Turut dirampas 12 buah kenderaan dari dua suspek, dokumen berkaitan i-Serve Technology dan Vacation Sdn Bhd, enam jam tangan mewah, lapan beg tangan mewah, dua komputer riba, satu CPU dan 10 barang kemas.
Siasatan dilakukan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Pada 12 Oktober lalu, MYAirline mengumumkan syarikat itu menggantung operasinya serta-merta akibat cabaran kewangan signifikan serta akibat tindakan pelabur dipercayai menarik diri pada saat akhir. – UTUSAN






