BUKIT MERTAJAM -Hentikan aktiviti penjualan minyak petrol dalam botol minuman secara terbuka dengan segera.
Itu arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang terhadap beberapa penjual bahan api tersebut di sekitar kawasan Teluk Kumbar baru-baru ini.
Pengarah KPDN negeri, S. Jegan berkata, hal ini demikian kerana, hampir semua penjual yang dianggarkan berusia antara 40 hingga 70 tahun itu tidak memiliki permit untuk menjual bahan api berkenaan.
Pada masa yang sama katanya, penjualan petrol secara terbuka itu boleh mengundang bahaya seperti kebakaran kerana ia dilakukan di tengah panas selain ada dalam kalangan penjual tersebut yang menjualnya sambil merokok.
“Kami (KPDN) faham kesukaran penduduk setempat untuk pergi ke stesen minyak berhampiran walaupun ia hanya terletak kira-kira lapan kilometer (km) dari lokasi tersebut.
“Bagaimanapun, penjualan minyak petrol secara terbuka terutamanya dengan mengisi bahan api itu ke dalam botol minuman sebelum dijual adalah sangat tidak digalakkan.
“Justeru, kami telah turun padang untuk menasihatkan mereka agar menghentikan tindakan berkenaan (menjual minyak petrol dalam botol secara terbuka) tanpa membuat sebarang rampasan. KPDN bagaimanapun tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya kes ini berulang,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina di sebuah pasar raya besar di Bukit Minyak, di sini, hari ini.
Terdahulu, tular satu dakwaan di media sosial mengatakan KPDN Pulau Pinang telah menyerbu beberapa premis dan merampas petrol yang dijual dalam botol minuman di Teluk Kumbar.
Difahamkan, minyak petrol itu dijual pada harga RM5 sebotol walaupun penjualnya mendapatkan bahan api berkenaan dengan harga RM3 sahaja.
Dalam perkembangan lain, Jegan berkata, harga jualan barangan basah seperti ayam di pasar raya besar termasuk pasar awam, gerai dan kedai runcit di negeri ini masih berpatutan walaupun terdapat perbezaan harga jualan di lokasi-lokasi tersebut ketika ini.
Katanya, berdasarkan pemantauan harga barang semasa, kebanyakan pasar raya besar menjual ayam di bawah harga RM9 bagi setiap kilogram (kg) manakala di pasar awam, gerai dan kedai runcit pula, harga jualan adalah 3antara RM9.40 ke RM9.50 per kg.
“Setakat ini, kita tidak terima apa-apa aduan mengenai perkara ini (harga ayam). Begitu juga aduan mengenai harga atau bekalan semua barang keperluan lain termasuk sayur, gula dan sebagainya,” ujar beliau.-UTUSAN





