KUALA SELANGOR: Jualan murah untuk mengimbangi kenaikan harga barang seperti Jualah Rahmah atau Jualan Termurah Madani akan ditingkatkan pada masa akan datang menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau sudah mengarahkan menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali supaya memastikan jualan tersebut ditingkatkan melebihi daripada biasa.
Menurutnya, selain program jualan, Agro Madani juga perlu ditingkatkan kerana jaringannya daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) dengan nelayan dan peladang begitu besar dan perlu dikurangkan permasalahannya untuk menurunkan harga barangan.
“Jadi, apa lagi masalah dibangkitkan oleh rakyat, kos sara hidup, barang makanan, ada langkah diambil tentunya pengeluaran dibesarkan secara bersungguh-sungguh oleh KPDN dan MAFS yang mengarahkan menekan supaya ada usaha yang lebih daripada itu.
“Tetapi, tindakan segera orang merungut, jadi kita kena cari kaedah bagaimana, sebab itu ada Agro Madani, Jualan Rahmah, program Jualan Madani, itu semua asalkan boleh kurangkan harga kerana, kadang-kadang soal pasaran, banyak masalah.
“Jadi itu yang kita lakukan sedaya upaya dan saya ucapkan kepada semua jentera kerajaan dan semua peniaga-peniaga kecil yang bantu untuk menjayakan program yang membantu masyarakat,” katanya pada Majlis Penutupan Program Madani Rakyat 2024 Zon Tengah, hari ini.
Sementara itu, dalam sesi dialog, beliau yang juga Menteri Kewangan turut meminta penyelesaian terhadap isu miskin bandar untuk diselesaikan melalui pertanian di kawasan tersebut dengan fokus terhadap kelompok yang tinggal di sana.
Jelas Anwar, isu tersebut perlu diberi perhatian oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI), Jabatan Pertanian dan seluruh agensi berkaitan pertanian untuk bertindak secara serius.
“Tumpu pengeluaran pertanian di bandar dengan fokus kelompok miskin bandar, apakah melalui sayur? Tanam padi tak bolehlah. Secara serius kena ada anjakan ini kerana tidak anih, (ada) jauh lebih berjaya projek pertanian bersasar di kawasan kota dan pinggir kota.
“Jadi saya harap dalam tempoh satu bulan, bermula hari ini ada program yang kita perkenalkan oleh kementerian berkaitan tentang satu anjakan daripada meneruskan yang sekarang ini kepada pengeluaran hasil pertanian,” jelasnya.
Dalam pada itu, Anwar mengesahkan MAFS dan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) perlu memuktamadkan isu harga padi pada 20 Mac ini.
Menurutnya, negara berisiko berdepan isu keselamatan melalui jaminan makanan sekiranya pesawah-pesawah bertindak mengubah pertanian mereka dari pada tanaman padi kepada tumbuhan lain semata-mata untuk meningkatkan pendapatan.
“Saya sendiri sudah bercakap sendiri dengan pengurusan Bernas dalam Mesyuarat NACCOL baru-baru ini supaya mencari jalan import beras dan juga pengeluaran tempatan dinaikkan, tiada masalah.
“Pesawah padi di antara kelompok paling miskin di negara kita, rakyat umumnya mahu harga beras turun atau terkawal, pesawah padi mahu hasil mereka itu dinilai kerana itu dikatakan security food, maknanya kalau semua tak mahu tanam padi dan tukar lain untuk mendapat pendapatan lebih, negara hadapi risiko keselamatan.
“Jadi keselamatan makanan itu bergantung kepada pesawah-pesawah padi, jadi kerajaan harus mengimbangi dan saya memberi tempoh kepada kementerian dan NACCOL untuk memuktamadkan isu terutama harga padi pada 20 Mac,” ujarnya. – UTUSAN






