SHAH ALAM: Sehingga 8,000 tan metrik sampah sehari dijangka dikutip oleh KDEB Waste Management (KDEBWM) sepanjang Syawal bermula hari pertama Hari Raya Aidilfitri yang dijangka jatuh pada Rabu depan.
Jangkaan tersebut dilapor meningkat sebanyak 13 peratus berbanding perayaan sama pada tahun lalu disebabkan orang ramai akan menganjurkan rumah terbuka sepanjang sambutan Aidilfitri.
Pengarah Urusannya, Datuk Ramli Mohd. Tahir berkata, bagaimanapun pihaknya berpandangan angka tersebut akan menurun bermula hari keempat Syawal dan kembali pada kutipan normal iaitu 7,000 tan sehari.
“Seperti tahun lepas, peningkatan jumlah sampah domestik tahun lepas berbanding tahun 2022 juga sebanyak 13 peratus.
“Dari segi jumlah kutipan sampah mengikut pihak berkuasa tempatan (PBT), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mencatatkan kutipan sampah yang tertinggi, iaitu hampir 1,000 tan sehari ,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.
Tambahnya, KDEBWM akan meneruskan operasi seperti biasa pada cuti umum minggu depan apabila 3,500 pekerja dijadualkan bekerja sepanjang Syawal, dengan 650 buah lori sampah beroperasi di seluruh negeri.
Justeru, Ramli memohon penduduk mengeluarkan sampah dari rumah masing-masing pada sebelah malam untuk membolehkan pekerja membuat kutipan pada keesokan hari.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan KDEBWM menerima aduan daripada penduduk berkenaan tindakan pekerja kutipan sampah meminta bayaran sebagai upah mengutip sampah di rumah mereka.
“Saya ada menerima beberapa aduan daripada penduduk dan peniaga berhubung kegiatan tersebut pada tahun lalu, KDEBWM tidak teragak-agak mengambil tindakan termasuk menamatkan perkhidmatan mereka dengan syarikat,” tegasnya. – UTUSAN






