KLANG: Seorang anggota bomba cedera rusuk kanan ketika memadamkan kebakaran melibatkan tiga buah kilang di Kawasan Perindustrian Pandamaran di sini, awal pagi tadi.
Anggota lelaki dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Andalas berusia 28 tahun itu dipercayai terjatuh dari tempat tinggi di premis tersebut, kira-kira pukul 2.45 pagi.
Mangsa yang dikejarkan ambulans dilaporkan dalam keadaan stabil dan mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kebakaran selepas menerima panggilan kecemasan pukul 2.16 pagi.
Menurutnya, sepasukan 54 pegawai dan anggota dari 10 BBP termasuk Andalas, Shah Alam, Cyberjaya dan Bukit Jelutong dikerah dalam operasi tersebut.
“Pemeriksaan mendapati api sedang marak memusnahkan tiga kilang di kawasan perindustrian tersebut Kebakaran bagaimanapun berjaya dikawal daripada merebak ke premis berdekatan lain,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Ahmad Mukhlis, pemadaman semua premis itu kini telah 90 peratus selesai.
“Bomba menjangkakan operasi akan selesai dalam tempoh 12 jam lagi melibatkan timbunan kain dan kotak. Punca sebenar kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan,” ujarnya. – UTUSAN






