SHAH ALAM: Jumlah sampah domestik terutama sisa makanan di Selangor mencatatkan peningkatan sehingga 20 peratus sepanjang Ramadan ini.
Statistik itu direkodkan KDEB Waste Management (KDEBWM) menerusi hasil kutipan harian yang dijalankan antara 14 Mac sehingga 9 April lalu.
Pengarah Urusannya, Datuk Ramli Mohd. Tahir berkata, kutipan itu turut melibatkan 10,800 bazar Ramadan di bawah tujuh pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.
Menurutnya, sampah domestik mencatatkan kutipan lebih 7,700 tan metrik sehari berbanding purata 7,000 tan pada bulan biasa.
“Selain bazar Ramadan, ia meliputi taman perumahan dan kawasan komersial yang dilihat meningkat antara 15 hingga 20 peratus.
“Sisa makanan merupakan sampah yang paling banyak dikutip sepanjang tempoh tersebut,” katanya ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri KDEBWM, hari ini.
Dalam pada itu, Ramli memberitahu, kutipan sampah pada minggu awal Syawal kali ini mencatatkan penurunan sehingga 40 peratus.
“Pemerhatian kita mendapati kutipan pada beberapa hari Aidilfitri hanya sebanyak 4,000 tan sehari. Ini kerana suasana lebaran kali ini dilihat agak meriah dengan ramai penduduk Selangor pulang beraya ke kampung berbanding tahun lalu,” ujarnya.
Tambah beliau, pihaknya bagaimanapun menjangkakan jumlah kutipan itu akan kembali meningkat susulan kepulangan orang ramai termasuk penganjuran majlis rumah terbuka.
“Justeru, masyarakat dinasihatkan mengelak pembaziran dengan tidak membuang makanan dan memanfaatkan pelbagai pusat kitar semula yang disediakan termasuk daripada KDEBWM,” jelasnya. – UTUSAN






