BUKIT MERTAJAM: Meskipun sugul dengan tragedi yang menimpa Faisal Halim, bapa kepada penyerang kebangsaan itu, Abdul Halim Saad, 60, masih mampu untuk berfikiran positif ketika ini.
Abdul Halim berkata, apa yang penting ialah, anak keempat daripada lima beradik itu kembali sembuh dan meneruskan kembali kariernya sebagai seorang pemain bola sepak.
“Saya pasrah dan reda dengan apa yang berlaku kepada Faisal. Mungkin semua ini ada hikmah di sebaliknya.
“Saya juga berharap agar orang yang buat diberikan hidayah. Semoga dibukakan pintu hati dia untuk berubah,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat untuk Faisal Halim anjuran Kelab Bola Sepak DNA Faisal Halim di Dewan Homestay Mengkuang Titi di sini, kelmarin.
Mengulas kemungkinan kejadian itu berpunca daripada musuh anaknya, Abdul Halim berkata, setahunya, Faisal seorang yang periang, kelakar serta tidak mempunyai sebarang musuh.
“Faisal juga tak pernah selindung apa-apa. Apapun, saya minta semua pakat-pakat doa agar dia kembali sembuh seperti sedia kala,” katanya yang belum berpeluang menjenguk keadaan anaknya itu ketika ini.
Dalam pada itu, Presiden Kelab Bola Sepak DNA Faisal Halim, Ammar Muhamad Pauzi berkata, Faisal amat disenangi dalam kalangan penduduk setempat kerana sikapnya yang mudah mesra.
“Dia bukan sekadar seorang pemain bola, tetapi, dia mahu pembangunan bola sepak itu ada di Mengkuang Titi untuk mewujudkan lebih ramai Faisal Halim pada masa depan. Kami betul-betul kecewa dengan kejadian ini dan berharap beliau cepat sembuh,” ujarnya.
Bagi bekas guru Faisal yang mesra disapa sebagai Cikgu Wan, dia percaya pelaku yang cuba merosakkan karier bintang bola sepak Harimau Malaya itu akan menerima balasan yang setimpal dengan perbuatannya selepas ini.
Cikgu Wan yang juga antara jurulatih terawal berjaya mengesan bakat Faisal berkata, Faisal tidak layak diperlakukan sebegitu kerana beliau masih muda dan baru mula mahu mengecapi erti kemasyhuran sebagai bintang sukan.
“Bagi saya, ini bukan perbuatan manusia, perbuatan ini lebih teruk daripada binatang. Ingatlah bahawa kita hidup di dunia ini ada Tuhan, ada agama. Semoga perbuatan jahat seperti ini akan dapat balasan daripada Tuhan,” katanya. – UTUSAN






