PETALING JAYA: Malaysia akan memberi tumpuan kepada mengukuhkan kerjasama ekonomi di kalangan negara ASEAN sewaktu menjadi Pengerusi pertubuhan tersebut pada tahun depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia akan terus memperjuangkan cita-cita rantau ini.
Kata beliau, hubungan diplomatik antara negara, hubungan dua hala yang baik secara individu dan diperingkat sub-serantau ASEAN perlu diperbanyakkan lagi.
“Terdapat banyak lagi perkara yang kita boleh buat dan patut buat (seperti) bekerjasama bagi meningkatkan keupayaan kita.
“Meningkatkan kapasiti bagi menarik pelaburan dan perdagangan untuk menjadikan blok serantau (kita) penting,” katanya menerusi kenyataan di platform X, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, Jepun akan memainkan peranan yang penting dalam mencapai objektif tersebut.
Jelasnya, negara tersebut memainkan peranan penting dalam ekonomi Malaysia untuk bergerak ke hadapan sewaktu era 1970-an dan 1980-an terutama sewaktu ledakan transformatif pembuatan negara,
“Melalui komitmen yang tidak berbelah bahagi, komuniti, kemakmuran keamanan. Kita boleh menjalin masa depan lebih cerah untuk ASEAN dan komuniti Asia lebih luas,” katanya. – UTUSAN






