GEORGE TOWN : Meskipun tidak akan ditemani oleh jurulatihnya, Nova Armada pada Sukan Olimpik Paris 2024, pemain badminton profesional perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei tetap akan menerima sentuhan daripada bintang legenda kelahiran Indonesia itu semasa berada di sana nanti.
Jin Wei, 24, berkata, sepanjang berada di sana nanti, dia akan berkomunikasi dengan Nova menerusi panggilan telefon.
“Jurulatih saya (Nova) akan terus beri sokongan, bimbingan dan panduan menerusi panggilan telefon sepanjang Sukan Olimpik nanti.
“Secara keseluruhanya, mental dan fizikal saya sekarang ini dalam keadaan baik. Ada tempoh dua minggu lagi (sebelum Sukan Olimpik bermula) dan saya akan cuba yang terbaik untuk semua terutamanya (rakyat) Malaysia,” katanya ketika ditemui di pejabat Persatuan Badminton Pulau Pinang, di Bukit Dumbar di sini, hari ini.
Terdahulu, pemain muda kelahiran Bukit Mertajam itu menerima sumbangan sebanyak RM20,000 daripada persatuan berkenaan yang disampaikan sendiri oleh Presidennya, Datuk Kah Kau Kiak selain sumbangan tambahan sebanyak RM5,000 daripada kerajaan negeri yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi.
Dalam pada itu, Jin Wei memberitahu, dia berterima kasih kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kerana menghulurkan bantuan dan sokongan meskipun dia turun ke sana tanpa kehadiran jurulatih peribadi.
Kata Jin Wei, dia akan berlepas ke Paris pada 23 Julai ini iaitu empat hari sebelum acara badminton membuka tirainya pada temasya tersebut iaitu 27 Julai depan.
“Hari ini diadakan cabutan untuk pemain-pemain bagi pertandingan itu. Saya pernah bermain di gelanggang sama pada Kejohanan Badminton Terbuka Perancis baru-baru ini. Jadi, saya harap kali ini (gelanggang berkenaan) akan berikan peluang lebih cerah dan bertuah kepada saya,” katanya.
Sementara itu, Daniel Gooi berkata, sumbangan yang disampaikan kepada Jin Wei adalah sebagai tanda sokongan kerajaan negeri dan Persatuan Badminton Pulau Pinang kepada pemain itu yang juga merupakan satu-satunya atlet negeri yang terpilih menyertai Olimpik pada kali ini.
“Selepas pendaftaraan untuk ke Olimpik ditutup, kita dapati hanya Jin Wei seorang sahaja dari Pulau Pinang yang layak dan ini satu kebanggaan untuk rakyat negeri ini.
“Jadi, sebagai tanda sokongan kami salurkan bantuan kepadanya dan sebenarnya kita memang ada banyak bantuan khusus untuk atlit mewakili negara,” katanya.






