SHAH ALAM: Allahyarham Muhammad Nidza Afham dikatakah mula berjoging selepas mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) di bahagian lutut kaki kanannya, lebih sebulan lalu.
Adiknya, Aufahanie berkata, Muhammad Nidza yang dikenali sebagai Nidza Afham itu seorang yang aktif sukan dan suka bermain pelbagai sukan seperti bola sepak, futsal dan badminton.
“Namun, abang mengalami kecederaan ACL di lutut kanannya selepas bermain bolasepak dengan rakan-rakannya, beberapa bulan lalu dan dinasihatkan oleh doktor supaya berehat sehingga lututnya pulih,” katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Shah Alam (HSA), hari ini.
Bagaimanapun, bagi memastikan kekal cergas, Aufahanie yang merupakan penyanyi itu memberitahu allahyarham sentiasa melakukan aktiviti sukan yang ringan seperti joging di sekitar Klang dan Shah Alam, termasuklah di Stadium Sultan Sulaiman, Klang.
Menurutnya, aktiviti berjoging itu dikatakan dapat menguatkan kembali lututnya serta mempercepat penyembuhan ACL yang dialaminya.
“Jadi bukan sesuatu perkara yang pelik bila abang pergi berjoging. Dia memang nak pastikan badannya sentiasa ‘fit’. Tetapi, Allah lebih sayangkan abang daripada dari kami,” luahnya.
Dalam pada itu, Aufahanie atau nama sebenarnya Nur Aufahanie Mokhtar, 21, memaklumkan proses bedah siasat tubuh Allahyarham bermula pukul 11.15 pagi dan dijangka siap pukul 3 petang.
Selepas bedah siasat, jenazah allahyarham akan dibawa ke Masjid Puncak Alam, Kuala Selangor bagi upacara solat jenazah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Puncak Alam selepas solat Asar. – UTUSAN






