SHAH ALAM: Bank Simpanan Nasional (BSN) berhasrat memperluaskan lagi jaringan perkhidmatan di seluruh negara dengan sasaran akses sehingga 98 peratus meliputi kawasan luar bandar dan pedalaman termasuk di Sabah dan Sarawak.
Usaha tersebut dilaksanakan bagi memastikan bank tersebut dapat melaksanakan mandat dan dasar kerajaan terutama kepada penduduk yang tinggal jauh daripada kemudahan-kemudahan perbankan dan perdagangan.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata, BSN sebagai bank 100 peratus milik kerajaan perlu menjalankan tanggungjawab sosial selain perniagaan dengan menyediakan perkhidmatan di seluruh negara sebanyak mungkin.
“100 peratus belum tercapai lagi, sekarang boleh kita menyediakan perkhidmatan di 95 peratus mukim di seluruh negara, sasaran kita dalam masa terdekat adalah 98 peratus dan akhirnya kita hendak capai 100 peratus mungkin dalam beberapa tahun lagi.
“Tetapi, kita sedar itu penting kerana rakyat di luar bandar khususnya di kawasan pedalaman, mereka susah hendak dapat kemudahan perbankan, jadi kita kena kembangkan,” katanya dalam sidang akhbar dalam lawatan ke Cawangan Nexbyte Selangor sempena 50 tahun BSN, hari ini.
Jelasnya, BSN kini mempunyai 387 cawangan di seluruh negara dan dibantu operasinya oleh 2,300 ejen bank terdiri daripada peniaga-peniaga kedai runcit yang memperolehi pendapatan daripada inisiatif tersebut serta sembilan bank bergerak di Sabah dan Sarawak.
Dalam pada itu, Awang Adek memaklumkan menerusi jaringan akses tersebut, BSN sudah pun membantu lebih 60 peratus usahawan mikro dan sebanyak 93,000 kekal aktif bersama institusi kewangan berkenaan termasuk menerusi tawaran pinjaman perniagaan mikro sehingga RM50,000.
“Perkhidmatan usahawan mikro selain pembiayaan, kita ada pembangunan usahawan, selain daripada kita beri pembiayaan kita juga membantu mereka untuk naik ke peringkat seterusnya iaitu kecil atau sederhana.
“Sehingga Julai lalu, BSN membantu seramai 12,147 perusahaan mikro dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM 407, 528, 000. Setakat hari ini, BSN mempunyai 93, 000 pelanggan mikro yang aktif.
“Kita jejak dari tahun 2022 sampai sekarang berjumlah 3,000 orang yang sudah bergerak ke tahap lebih tinggi. Untuk tahun ini dalam enam bulan pertama, kira-kira 500 usahawan kita bantu dan sudah bergerak ke peringkat kecil dan sederhana,” jelasnya. – UTUSAN






