IPOH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak mencampuri keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepaskan dan membebaskan Datin Seri Rosmah Mansor daripada 17 pertuduhan berkait pengubahan wang haram dan mengelak cukai.
Beliau berkata, perkara itu adalah keputusan mahkamah dan terserah kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mengambil tindakan lanjut.
“Macam-macam tafsiran ada, yang saya tahu, ini keputusan mahkamah dan terserah kepada Peguam Negara untuk ambil tindakan berikutnya.
“Adalah tidak munasabah untuk menjangkakan pentadbiran saya (sama) seperti pentadbiran dulu di mana Perdana Menteri boleh panggil hakim dan bagi arahan.
“Saya tidak menemui mana-mana hakim, saya tidak bicara dengan Ketua Hakim Negara dalam soal keputusan mahkamah. Kita hormati keputusan mahkamah. Kalau Peguam Negara merasakan perlu membuat rayuan, itu keputusan mereka.
“Tapi saya tidak fikir perkara ini perlu jadi kontroversi. DNAA kepada pembangkang ramai, dan keputusan ini telah diambil dan kita akan baca dan teliti keputusan hakim,” katanya ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Buku Malaysian First Jilid 1 dan 2 oleh Tan Sri Lim Kit Siang, di sini semalam. Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang dan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng.
Kelmarin Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat keputusan melepas dan membebaskan Datin Seri Rosmah Mansor daripada 17 pertuduhan berkait pengubahan wang haram dan elak cukai selepas mendapati pertuduhan dikenakan terhadap bekas isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak menyatakan secara lengkap kesalahan dilakukan.
Hakim K. Muniandy berkata, tanpa perincian mengenai kesalahan dilakukan, apa yang tinggal ialah tindakan mendepositkan wang ke dalam akaun yang mana bukanlah sesuatu yang salah di sisi undang-undang.
Rosmah didakwa atas 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 juta dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) antara 2013 dan 2018.
Perbicaraan kes itu bermula pada 24 Ogos lalu dan dua saksi dipanggil memberi keterangan. Perbicaraan terhenti selepas Rosmah memfailkan permohonan menggugurkan pertuduhan pada 6 September 2023.
Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.
Sementara itu di Ipoh, Anwar mengumumkan peruntukan kerajaan Pusat sebanyak RM1 juta kepada pembangunan Pusat Pengajian Islam At-Taiyyibin di Chemor yang terletak dalam kawasan Parlimennya.
Pusat berkeluasan lebih dua hektar itu merupakan institusi pendidikan ilmu Islam dan kemahiran bagi golongan warga emas, asnaf, mualaf remaja dan orang dewasa.
Beliau mengharapkan sumbangan itu dapat membantu pusat pengajian tersebut terus berkembang dalam menyampaikan ilmu kepada pelajar.
Anwar turut menekankan bahawa dalam mencari pengetahuan, ia bukan sekadar menimba ilmu malah turut bertujuan memperbaiki adab dan akhlak.
“Zaman jahiliah itu bukan zaman tiada ilmu. Tetapi ilmu yang ada tidak dapat mendidik, ilmu yang tidak kenal Allah SWT, ilmu yang tidak memperbaiki akhlak dan tidak mengangkat adab,” katanya dalam ucapan program kenduri rakyat dan ziarah mahabbah ke pusat berkenaan.
Jelasnya, perkara itu adalah asas kepada Madani yang diperkenalkan oleh pentadbirannya sejak menjadi Perdana Menteri.
“Saya tekankan kena betulkan pimpinan. Dasar banyak dah, wang pun banyak dah. Bukan sikit-sikit, berpuluh bilion. Hilang pun banyak juga dah, yang songlap pun banyak juga. Sebab itu kita kata macam mana pun dari segi akhlak dan adab,” katanya.
Beliau berkata, adab dan akhlak penting untuk apa jua perkara termasuk ketika memberi pandangan. – UTUSAN






