PETALING JAYA: Cadangan untuk memansuhkan program matrikulasi bakal memberi kesan besar terhadap peluang pelajar luar bandar dan kumpulan berpendapatan isi rumah 40 peratus terendah (B40) untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Timbalan pengarah Institut pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (Minda) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, program matrikulasi telah menjadi saluran penting membuka peluang pendidikan tinggi kepada pelajar berpotensi dari keluarga berpendapatan rendah dan luar bandar.
Katanya, kemiskinan sering menjadi penghalang kepada pelajar luar bandar dan B40 untuk mengembangkan potensi mereka walaupun memiliki pencapaian akademik yang baik.
“Kadang-kadang anak-anak daripada keluarga miskin ini sebenarnya mempunyai peluang dan potensi tetapi disebabkan kemiskinan mereka tidak mendapat peluang yang baik.
“Matrikulasi diwujudkan bagi mengasah bakat pelajar berpotensi ini supaya mereka tidak tercicir. Kalau tiada matrikulasi, sukar untuk kita menumpukan bantuan kepada mereka yang datang daripada keluarga miskin dan tidak mampu.
“Program ini dibangunkan untuk memastikan lebih ramai sumber manusia negara dapat dilahirkan dalam bidang sains, teknologi dan profesional,” katanya.
Semalam, akhbar ini melaporkan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) menolak cadangan untuk menghapuskan program matrikulasi.
Cadangan itu disifatkan sebagai tidak wajar kerana menafikan falsafah asal penubuhannya yang bertujuan membantu pelajar bumiputera khususnya dari luar bandar dan kelompok B40.
Setiausahanya, Fouzi Singon berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ketika ini mengamalkan sistem meritokrasi yang menilai pemilihan pelajar berdasarkan pencapaian akademik dan kokurikulum.
Sementara itu, Anuar berkata, matrikulasi bukan hanya terbuka kepada pelajar bumiputera, malah turut disertai pelajar bukan bumiputera, menjadikannya satu wadah inklusif yang menyokong pelbagai kaum serta memperkukuh keseimbangan tenaga kerja negara.
“Tenaga kerja yang lahir daripada laluan matrikulasi ini akhirnya menjadi sumber kepada syarikat-syarikat dalam negara, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi jangka panjang,” katanya.
Pengerusi Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan UKM, Prof. Madya Dr. Hasnah Toran berkata, penghapusan matrikulasi akan memberi kesan kepada kawasan luar bandar kerana tidak semua kawasan mempunyai akses kepada Tingkatan 6.
Malah, ada kelas tingkatan 6 yang tidak cukup untuk menampung lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang layak.
Oleh itu kewujudan matrikulasi, penting dan kemasukan pelajar ke universiti melalui meritokrasi juga adil walaupun tidak sempurna.
“Pelajar luar bandar wajar diberi sokongan dalam sistem itu agar mereka berpeluang melanjutkan pengajian ke universiti awam, sekali gus membuka ruang pendidikan yang mampu mencerahkan masa depan mereka serta keluarga,” katanya. – UTUSAN






