PETALING JAYA: Istana Pahang menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar Al-Haj pernah menawarkan sebarang bentuk bantuan kepada orang ramai melalui platform TikTok.
Penafian itu dibuat selepas wujud sebuah akaun TikTok menggunakan nama ‘Datuk Muhammad Yusuf’ yang dikesan memperdaya masyarakat dengan memanipulasi wajah baginda menerusi teknologi Kecerdasan Buatan (AI).
“Istana Pahang menegaskan perbuatan tersebut adalah cubaan penipuan yang tidak bertanggungjawab dan boleh menjejaskan imej institusi diraja.
“Orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati, bijak menilai kesahihan maklumat serta tidak mudah terpedaya dengan tawaran palsu yang disebarkan di media sosial,” katanya menerusi kenyataan di Facebook Kesultanan Pahang hari ini.
Dalam pada itu, orang ramai juga digesa segera membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya dihubungi atau menerima sebarang mesej yang mencurigakan atas nama Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang. – UTUSAN






