KUALA LUMPUR: Perdana Menteri memberi jaminan perjanjian perdagangan Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS) tidak akan menjejaskan kerjasama sedia ada dengan China.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya telah memberikan penjelasan sewajarnya berhubung perkara tersebut dan menegaskan bahawa China kekal sebagai rakan dagang yang sangat penting kepada Malaysia.
“Mereka (China) mahukan sedikit penjelasan dan kita telah berikan. Saya tidak fikir kita perlu membesar-besarkannya.
“Dalam perbincangan dua hala dengan Perdana Menteri, Li Qiang juga telah diberikan penjelasan. Tiada apa dalam perjanjian itu yang menghalang kita daripada meneruskan kerjasama dengan China,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Kenderaan Pertama EV Perodua di Menara MITI, di sini hari ini.
Minggu lalu, portal berita melaporkan bahawa semasa pertemuan dengan pegawai Malaysia pada Selasa (25 November), Kementerian Perdagangan China menyuarakan ‘kebimbangan serius’ mengenai bahagian-bahagian tertentu dalam perjanjian perdagangan AS-Malaysia.
Portal turut melaporkan, kerajaan China dikatakan telah meminta Putrajaya untuk ‘mempertimbangkan sepenuhnya dan mengendalikan perkara ini dengan betul selaras dengan kepentingan jangka panjangnya.’
Turut dilaporkan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia menawarkan ‘penerangan dan penjelasan’ tanpa mendedahkan butiran khusus.
Perbincangan itu dilaporkan berlaku susulan perbincangan serupa antara pegawai China dan Kemboja seminggu sebelumnya, dengan wakil perdagangan China Li Chenggang mendesak Phnom Penh menangani kebimbangan Beijing. – UTUSAN






