KUALA LUMPUR: Aktivis S Chandrasegaran atau lebih dikenali sebagai Cikgu Chandra mendakwa kediamannya di Taman Kinrara dekat sini sekali lagi diserang bekas ahli politik yang juga pempengaruh media sosial pagi ini.
Katanya, dalam insiden berlaku kira-kira 8.15 pagi tadi, lelaki berkenaan bersama beberapa individu lain yang datang ke rumahnya turut membuat ugutan ke atas dirinya.
“Kejadian berlaku hampir setengah jam apabila mereka bertindak agresif dan melakukan provokasi.
“Bagaimanapun keadaan terkawal kerana polis menjaga kawasan perumahan saya bagi mengelak insiden tidak dikenali terjadi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Media semalam melaporkan Cikgu Chandra tetap akan tinggal di kediaman terbabit dan tidak akan berpindah.
Polis turut membuka dua kertas siasatan berhubung insiden khianat dan ugutan jenayah membabitkan Cikgu Chandra di perumahan Taman Kinrara, Puchong dekat sini pada 9 Mac lalu dan kelmarin.
Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar dilaporkan berkata, bagi insiden pertama siasatan dijalankan mengikut Seksyen 427 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat serta ugutan jenayah, manakala bagi insiden kedua pula, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan berhubung kejadian khianat dengan api yang membabitkan kenderaan di lokasi sama.- UTUSAN






