PETALING JAYA: Cuaca panas dan kurang hujan diramal berlaku di kebanyakan kawasan Borneo, termasuk Sarawak sehingga 20 Ogos ini.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), analisis model-model ramalan cuaca terkini menunjukkan keadaan berkenaan berpotensi berterusan dengan pengaruh angin dari arah selatan serta bilangan titik panas yang kekal tinggi di Borneo.
Situasi itu berpotensi menyumbang kepada kejadian jerebu dan mengurangkan jarak ketampakan, terutama di bahagian selatan Sarawak.
Berdasarkan rekod terkini Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) hari ini, Serian, Sarawak mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi iaitu 183 dalam kategori tidak sihat.
Samarahan dan Kuching masing-masing merekodkan bacaan IPU 170, diikuti Sri Aman (162), Sarikei (158), Bintulu (152) dan Mukah (151).
Di Kuala Lumpur, Cheras turut mencatat bacaan tidak sihat pada paras 153, manakala Johan Setia, Selangor merekodkan 149 dan Shah Alam 102.
Keadaan itu menyaksikan tujuh kawasan di Sarawak berada dalam senarai 10 lokasi dengan bacaan IPU tertinggi setakat hari ini.
MetMalaysia sebelum ini memaklumkan, jerebu yang melanda beberapa kawasan di negara ini dijangka berterusan tanpa perubahan ketara sepanjang tempoh seminggu akan datang.
Keadaan cuaca juga dijangka kekal hampir sama sepanjang minggu hadapan.
Perubahan cuaca yang lebih ketara dijangka berlaku selepas Monsun Barat Daya berakhir pada penghujung September ini. – UTUSAN






