PUTRAJAYA: DAP akan kekal sebagai sebuah parti berbilang kaum yang memperjuangkan keadilan dan demokrasi buat semua.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, DAP ditubuhkan oleh sekumpulan aktivis yang mempunyai idealisme tinggi yang sudah menempuh 60 tahun perjuangan.
Menurut beliau, DAP merupakan parti untuk rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama yang ditubuhkan bagi memperjuangkan keadilan, kebebasan serta demokrasi untuk semua dan bukannya eksklusif untuk satu kaum sahaja.
“Pada hari ini, DAP berusia 60 tahun. Selaku Setiausaha Agung pada 2026, saya ingin secara tegas menyatakan dalam persidangan ini, DAP akan kekal sebagai parti berbilang kaum untuk rakyat Malaysia.
“Ini adalah falsafah parti yang paling penting, iaitu kita adalah parti rakyat Malaysia berbilang kaum. Apa yang kita perjuangkan bukannya berkenaan mana-mana satu kaum tetapi untuk kemajuan rakyat Malaysia.
“Untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang progresif, sebuah masyarakat yang berbilang kaum yang mempunyai kepelbagaian, tetapi kita semua boleh hidup dalam keadaan aman dan harmoni,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Persidangan Kebangsaan DAP 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.
Anthony Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata, DAP daripada dahulu tidak pernah mengambil mana-mana pendekatan ataupun dasar untuk memusuhi mana-mana satu kaum.
*Walaupun berpuluh tahun kita dilemparkan pelbagai tuduhan, pelbagai tohmahan bahawa DAP hanya untuk satu kaum. Namun begitu, itu adalah cabaran yang paling besar dalam perjuangan politik kita.
“60 tahun sehingga hari ini, cabaran yang kita hadapi pada 70-an sampai ke hari ini adalah cabaran yang sama iaitu bagaimana kita dapat memecahkan tembok politik perkauman itu,” katanya. – UTUSAN






