PUTRAJAYA: Seramai 242 orang perwakilan yang tidak bersetuju dengan keputusan DAP diharap menghormati kehendak majoriti dan menyokong kepimpinan parti untuk terus berperanan dalam kerajaan.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, keputusan majoriti perlu dihormati selepas perwakilan memilih untuk kekal dalam Kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, sebanyak 1,857 undi menyokong keputusan Kekal manakala 242 undi memilih untuk keluar daripada Kerajaan Persekutuan.
“Keputusan itu menunjukkan hampir 88 peratus perwakilan yang mengundi mahu DAP kekal dalam kerajaan sehingga tamat tempoh Parlimen.
“Perwakilan kami datang daripada akar umbi dan bukan semua berkesempatan untuk hadir. Dalam persidangan tanpa pemilihan parti, kehadiran melebihi 2,000 orang ini sudah dianggap tinggi.
“Sebagai sebuah parti, kami perlu menghormati pemikiran kebanyakan yang membuat keputusan dengan majoriti 88 peratus untuk tinggal dalam kerajaan,” katanya pada sidang akhbar selepas Persidangan Kebangsaan DAP di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, hari ini.
Anthony Loke berkata, 242 perwakilan yang memilih ‘keluar’ adalah bebas mempunyai pandangan tersendiri, namun mereka diharap menghormati keputusan majoriti.
Katanya, walaupun terdapat kekecewaan atau pandangan berbeza, perwakilan berkenaan perlu menghormati kehendak majoriti dan menyokong kepimpinan parti.
“Keputusan itu memberikan mandat kepada Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP dan pemimpin DAP untuk terus menjalankan tugas kerajaan.
“Mandat tersebut turut menunjukkan kepercayaan perwakilan terhadap parti dan kepimpinan untuk meneruskan tanggungjawab dalam kerajaan,” katanya. – UTUSAN






