PUTRAJAYA: DAP menegaskan, persidangan kebangsaan parti itu bukan medan untuk menekan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan agenda kepentingan parti.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, agenda reformasi yang diperjuangkan adalah perkara yang dipersetujui bersama dalam Pakatan Harapan dan Kerajaan Perpaduan.
Menurutnya, beberapa reformasi yang telah dipersetujui bersama sebelum ini perlu dilaksanakan segera bagi memastikan perubahan dijanjikan kepada rakyat dapat direalisasikan.
“Beberapa reformasi yang telah dipersetujui bersama di peringkat Pakatan Harapan (PH) dan Kabinet perlu dilaksanakan segera, termasuk pengasingan kuasa Peguam Negara, mengehadkan tempoh Perdana Menteri kepada dua penggal dan usaha melawan rasuah.
“Bagi perkara jangka pendek, kita turut mendengar suara akar umbi supaya ambang pelaksanaan e-invoicing dinaikkan agar tidak membebankan perusahaan mikro dan kecil.
“Begitu juga terdapat permintaan supaya kuota RON95 dan diesel, khususnya bagi Sabah dan Sarawak, dilihat semula kerana perkara itu berkait rapat dengan kehidupan rakyat dan kos sara hidup.
“Apa sahaja pembaharuan atau reformasi bukan agenda DAP semata-mata, sebaliknya agenda bersama yang telah dipersetujui melalui manifesto pada pilihan raya yang lalu,” katanya dalam sidang akhbar sempena Persidangan Kebangsaan DAP di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, hari ini.
Beliau berkata, segala aspirasi dan maklum balas akar umbi akan dibawa kepada kerajaan melalui saluran Kabinet kerana DAP sebahagian daripada kerajaan.
Katanya, DAP akan memperincikan perkara berkenaan bersama Perdana Menteri dan Kabinet berdasarkan garis masa yang telah dinyatakan kerajaan.
“Kita tahu musuh-musuh politik kita kata kita hendak gunakan konvensyen ini atau persidangan ini untuk menekan Perdana Menteri dengan agenda DAP.
“Mereka perlu tahu agenda DAP adalah agenda yang dipersetujui bersama dalam Pakatan Harapan dan dipersetujui bersama dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya. – UTUSAN






