PUTRAJAYA: Lebih 4,000 perwakilan DAP dari seluruh negara selesai mengundi untuk menentukan masa depan parti itu di dalam Kerajaan Persekutuan.
Proses pengundian itu berjalan hampir dua jam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Sebelum itu, semua pembahas yang mewakili setiap negeri berpandangan bahawa DAP perlu kekal di dalam Kerajaan Persekutuan.
Mereka berpandangan bahawa DAP hanya perlu menetapkan syarat dan kriteria tertentu supaya parti tidak terpaksa menanggung kritikan dari rakyat dan pengundi atas perkara tertentu termasuk soal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Usul yang dibawa di Persidangan DAP 2026 itu dibawa oleh Setiausaha Agung, Anthony Loke Siew Fook.
Anthony Loke semasa menyampaikan ucapan dasar berkata, keputusan berkenaan wajar diputuskan oleh kira-kira 4,000 perwakilan sebagai tanda demokrasi dan bukannya hanya 40 anggota Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) sahaja.
“Jadi pada hari ini kita hendak tentukan sama ada hala tuju kita kekal dalam kerajaan sehingga tamat tempoh untuk terus kita laksanakan tugas kita, cuba untuk kita mempengaruhi dan juga membawa perubahan dan janji ataupun kita memainkan peranan sebagai check and balance dalam kerajaan iaitu kembali kepada backbenchers.
“Kita mendemokrasikan proses membuat keputusan ini dan menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan perwakilan DAP untuk menentukan hala tuju parti,” katanya. – UTUSAN






