BAGAN SERAI: Tiga beranak etnik Rohingya ditemukan rentung selepas rumah yang didiami mereka di Taman Serai Maju di sini terbakar dalam kejadian awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.17 pagi itu, mangsa yang maut ialah Mohd. Yunus Nor Ali, 27, serta dua anaknya, Muhammad Woheed Mohd. Yunus, 6, dan Mohamad Aheed Mohd. Yunus, 3.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai, BBP Kuala Kurau dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bagan Serai dikejarkan ke lokasi.
Katanya, jentera pertama tiba pada pukul 5.30 pagi dan mendapati sebuah rumah jenis Kelas A berukuran 20 kaki x 40 kaki sedang marak terbakar dengan kemusnahan dianggarkan sekitar 70 peratus.
Menurut beliau, rumah berkenaan dihuni oleh tujuh warga asing dan mempunyai dua bilik.
“Seorang wanita, Saniya Jahan Juma Abul Kasim, 24, ditemukan di luar rumah dalam keadaan melecur pada bahagian tangan dan kaki. Mangsa memaklumkan bahawa suaminya serta dua anak mereka masih terperangkap di dalam rumah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pasukan bomba segera melaksanakan operasi menyelamat menggunakan konsep RECEO (Rescue, Exposure, Confinement, Extinguishment, Overhaul) sebelum wanita itu diberikan rawatan awal dan dihantar ke hospital menggunakan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
Katanya, operasi mencari mangsa di dalam rumah menemukan ketiga-tiga mangsa di dalam bilik pertama yang sedang terbakar dan pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan mereka telah meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 6.20 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 7.35 pagi. Kesemua mayat mangsa diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sayani berkata, Pasukan Forensik Kebakaran daripada Bahagian Penyiasatan Kebakaran JBPM Perak turut menjalankan siasatan di lokasi bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran dan anggaran kerugian.
Menurut beliau, berdasarkan penemuan awal, kebakaran dipercayai bermula di bilik pertama, iaitu lokasi ketiga-tiga mangsa ditemukan, namun punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. –UTUSAN





