MELAKA: Kerajaan terus memperkukuh agenda reformasi bagi menghentikan amalan menyakau kekayaan negara, selain memastikan hasil pembangunan dapat dinikmati rakyat secara lebih adil.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, usaha menyelamatkan negara daripada amalan yang merugikan rakyat perlu disusuli dengan pembaikan sistem dan proses pentadbiran supaya kekayaan tidak diagihkan secara berlebihan kepada pihak tertentu.
“Oleh itu, kita akan menyelamatkan negara ini. Bagaimana kita selamatkan negara ini? Hentikan amalan menyakau. Nak betulkan prosesnya.
“Kita mesti menghentikan amalan-amalan mengagihkan kekayaan yang berlebihan kepada orang-orang tertentu yang sebelum ini tidak pernah disiarkan atau dijadikan bahan perbahasan yang sewajarnya.
“Dalam tempoh tiga tahun ini, kita telah menjamin kestabilan politik, keselamatan yang terpelihara dan ekonomi yang berkembang.
“Sekarang, kita mesti meneruskan dengan lebih tegas agenda reformasi dalam beberapa perkara yang masih tertangguh,” katanya menyampaikan ucapan dasar dan merasmikan Kongres Nasional PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.
Menurut Presiden PKR itu, kestabilan politik, keselamatan negara dan pertumbuhan ekonomi yang dicapai dalam tempoh tiga tahun lalu perlu menjadi asas untuk kerajaan meneruskan agenda reformasi secara lebih tegas.
Beliau berkata, reformasi yang dilaksanakan kerajaan bukan hanya tertumpu kepada aspek pentadbiran dan ekonomi, sebaliknya turut meliputi sektor pendidikan bagi memastikan generasi akan datang mendapat peluang yang lebih baik.
Dalam pada itu, beliau menegaskan usaha memperbaiki sistem dan melaksanakan reformasi perlu dilakukan secara berterusan bagi memastikan kestabilan yang telah dicapai dapat diperkukuh.
Anwar berkata, kerajaan tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian yang telah dicapai setakat ini kerana masih terdapat perkara yang memerlukan pembaharuan dan penambahbaikan.
Beliau berkata, agenda reformasi perlu dilaksanakan dengan mengambil kira kepentingan rakyat serta memastikan institusi dan sistem pentadbiran negara terus diperkukuh.
Katanya, usaha menghentikan amalan rasuah, salah guna kuasa dan pengagihan kekayaan secara tidak adil merupakan sebahagian daripada proses membina sebuah negara yang lebih baik.
“Bagi saya, perkara utama ialah menjamin kestabilan politik, menjamin negara selamat dan menjamin ekonomi meningkat. Sekarang, kita teruskan dengan lebih tegas agenda reformasi,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa sebarang tindakan terhadap pihak yang disyaki melakukan kesalahan perlu dibuat berdasarkan proses undang-undang, bukannya tuduhan atau persepsi.
“Kita terus menuding jari, jangan. Biar badan penguat kuasa siasat secara profesional. Bukan hukum sebelum kita ada kepastian,” katanya.
Menurut beliau, tindakan tegas perlu diteruskan terhadap mereka yang terbukti melanggar peraturan, mencuri harta atau mengkhianati amanah rakyat.
Anwar berkata, pada masa sama, kerajaan perlu memastikan setiap proses pentadbiran diperbaiki bagi menutup ruang berlakunya kebocoran dan penyalahgunaan kekayaan negara.
Beliau berkata, kestabilan politik yang dinikmati ketika ini memberi ruang kepada kerajaan untuk meneruskan agenda reformasi dengan lebih berani demi kepentingan rakyat dan masa depan negara.
Katanya, reformasi pendidikan sedang dilaksanakan termasuk memberikan pendedahan kepada kanak-kanak pada peringkat awal dalam bidang digital dan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Reformasi pendidikan sedang dilakukan, termasuk memberikan pendedahan kepada anak-anak pada peringkat awal dalam bidang digital dan STEM serta menyediakan prasekolah untuk semua,” katanya.
Anwar berkata, akses kepada pendidikan berkualiti perlu diberikan secara adil tanpa mengira sama ada seseorang kanak-kanak itu tinggal di kawasan bandar, luar bandar atau pedalaman.
“Prasekolah tidak boleh hanya berkualiti untuk anak-anak di bandar, sementara anak-anak di pedalaman dan desa menerima pendidikan kelas kedua,” katanya. –UTUSAN





