PUTRAJAYA: Kebanyakan perwakilan DAP hari ini mahu parti ITU terus kekal di dalam Kerajaan Persekutuan sehingga habis penggal namun perlu meneliti kekurangan yang wujud supaya ia dapat diselesaikan dengan segera.
Wakil DAP Perak, Jason Ng Thien Yeong berkata, DAP perlu terus kekal sehingga habis penggal untuk meneruskan usaha reformasi yang dijanjikan sebelum ini.
“Walaupun kita sudah kalah dalam beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu, di Sabah, Johor dan Negeri Sembilan, kita tidak boleh putus semangat, dalam baki setahun lebih ini, kita harus menerima hakikat bahawa Kerajaan Perpaduan ada kelemahan.
“Dan menerima hakikat bahawa perubahan harus dilakukan, kita menyeru pemimpin-pemimpin kita dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melaksanakan reformasi yang dijanjikan, bukan tinggalkan kerajaan,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Persidangan Kebangsaan DAP 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Sependapat dengan itu, Muhammad Shakir Ameer Mohideen berkata, ahli tidak perlu panik walaupun DAP mengalami beberapa kekalahan kerana parti masih mencatat prestasi yang baik seperti di PRN Negeri Sembilan yang berjaya memperoleh sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Katanya, DAP juga perlu menerima hakikat bahawa jumlah pengundi bukan melayu yang sebelum ini berpihak kepada parti itu semakin lama semakin berkurangan.
Sementara itu, wakil DAP Wilayah Persekutuan, Sangeet Kaur Deo berkata, DAP perlu kekal di dalam Kerajaan Persekutuan tetapi menilai semula hubungan dengan Anwar.
Katanya, Anwar tidak menyatukan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan apabila UMNO secara terbuka dan menerus menyerang DAP walaupun bersama dalam Kerajaan Persekutuan.
“Adakah mereka benar-benar rakan gabungan yang boleh kita bekerjasama? Saya menggesa Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) supaya menilai semula secara serius hubungan kita dengan Anwar.
“Daripada menyatukan rakan-rakan gabungan, apa yang beliau lakukan? Beliau memecahbelahkan kita dan melaga-lagakan satu pihak dengan pihak lain. Beliau memperkukuh UMNO. Perkara ini tidak boleh kita abaikan,” katanya. – UTUSAN






