GEORGE TOWN: Pembinaan terowong dasar laut atau jambatan ketiga yang menghubungkan Pulau Pinang dengan tanah besar kekal disenaraikan sebagai antara cadangan indikatif Draf Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang (RSN Pulau Pinang) 2040.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, cadangan projek berkenaan masih dimasukkan dalam draf itu kerana perjanjian dengan syarikat dilantik masih sah selain tender projek tersebut telah dianugerahkan ketika ini.
“Projek itu masih ada, perjanjian masih sah dan kami sudah pun menganugerahkan tender kepada syarikat berkenaan,” katanya selepas merasmikan program publisiti dan penyertaan awam draf RSN Pulau Pinang 2040 di sini hari ini.
Yang hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Perancang Bandar dan Desa (PLANMalaysia), Datuk Dr. Alias Rameli.
Menurut Kon Yeow, cadangan pembinaan sama ada terowong dasar laut atau jambatan ketiga itu dijangka menghubungkan kawasan Gurney Drive di bahagian pulau dengan Bagan Ajam di Seberang Perai.
Bagaimanapun, Kon Yeow berkata, kewujudan sesuatu projek dalam draf RSN itu tidak bermakna pelaksanaannya akan dilakukan secara automatik kerana pembangunan disenaraikan adalah bersifat indikatif (belum muktamad).
Beliau berkata, dalam hal ini, pelaksanaan sesuatu projek bergantung kepada jadual pembangunan serta keputusan kerajaan pada ketika itu termasuk kemungkinan penglibatan pihak swasta mengikut zon kawalan pembangunan yang ditetapkan.
Oleh itu katanya, Draf RSN Pulau Pinang 2040 perlu berfungsi sebagai kompas dalam menentukan hala tuju pembangunan negeri selain memastikan aspek pembangunan, pemeliharaan dan kelestarian Pulau Pinang diberi perhatian.
“Apa yang kita rancang hari ini akan menentukan wajah Pulau Pinang pada 2040 dan generasi selepasnya kerana Pulau Pinang 2040 bukan sekadar visi kerajaan negeri, tetapi masa depan kita bersama,” katanya.
Mengenai Pulau Jerejak pula, Kon Yeow berkata, kawasan itu turut disenaraikan dalam draf RSN namun sebahagian besar tanah di pulau berkenaan kekal berstatus Hutan Simpan Kekal.
Katanya, lebih 80 ekar tanah milik persendirian terbabit dalam cadangan pembangunan yang pernah diumumkan sebelum ini manakala sebarang projek dalam kawasan Hutan Simpan Kekal hanya boleh dipertimbangkan bagi tujuan utiliti atau infrastruktur. – UTUSAN






