PUTRAJAYA: Perwakilan DAP perlu membuat satu keputusan kolektif untuk menentukan hala tuju parti itu berhubung kedudukan dalam Kerajaan Persekutuan sehingga tamat penggal Parlimen.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, keputusan besar berkenaan sewajarnya dibuat bersama oleh perwakilan bukannya hanya melibatkan 40 anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP.
Menurutnya, perwakilan perlu membuat pertimbangan sama ada DAP mahu terus berada dalam kerajaan bagi melaksanakan tugas, mempengaruhi dasar serta membawa perubahan dan reformasi.
“Ini kerana, apabila kita berada dalam kerajaan, ada kekangan, ada kelemahan yang perlu kita tanggung secara bersama. Apa-apa keputusan kerajaan yang tidak popular, sudah tentu sebagai parti yang berada dalam kerajaan kita perlu menanggung secara bersama.
“Jadi pada hari ini kita hendak menentukan sama ada hala tuju kita kekal dalam kerajaan sehingga tamat tempoh untuk terus kita melaksanakan tugas kita, cuba untuk kita mempengaruhi dan juga membawa perubahan-perubahan dan reformasi-reformasi yang kita janjikan.
“Ataupun kita memainkan peranan sebagai kumpulan yang memberi tekanan dalam kerajaan iaitu kembali kepada backbencher sahaja’,” katanya sewaktu berucap pada Persidangan Kebangsaan DAP 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, hari ini.
Beliau turut berkata, pilihan berkenaan perlu dipertimbangkan secara serius kerana kedua-duanya mempunyai implikasi terhadap peranan DAP serta kedudukan DAP dalam politik dan kerajaan Persekutuan.
Katanya, keputusan itu juga perlu mengambil kira kekalahan besar DAP dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun lalu yang membawa mesej jelas mengenai hala tuju parti.
“Matlamat utama DAP bukan semata-mata untuk memegang kerusi kerajaan, jawatan Menteri, Timbalan Menteri atau kedudukan penting dalam pentadbiran negara.
“Sebaliknya, perkara paling penting adalah menentukan pilihan yang mampu membantu merealisasikan perubahan positif serta mewujudkan sistem pemerintahan lebih progresif dan baik.
“Saya berharap perwakilan menggunakan kebijaksanaan masing-masing untuk membuat keputusan yang terbaik bagi parti, rakyat Malaysia serta masa depan negara secara keseluruhannya,” katanya. – UTUSAN






