KUALA LUMPUR: Cadangan pindaan Akta Pendaftaran Jurutera 1967 bagi memperkukuh kuasa kawal selia dan penguatkuasaan Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) kini di peringkat akhir dan dijangka dibawa ke Parlimen pada September ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, cadangan pindaan berkenaan sedang melalui proses kelulusan termasuk pertimbangan oleh Parlimen.
Katanya, pindaan itu bukan sekadar bertujuan mewujudkan peraturan baharu, sebaliknya berkaitan keselamatan awam, akauntabiliti profesional serta memastikan kerja kejuruteraan dilaksanakan individu yang mempunyai kelayakan sewajarnya.
“Satu inisiatif penting ialah cadangan pindaan kepada Akta Pendaftaran Jurutera 1967, bertujuan memperkukuh kuasa kawal selia dan penguatkuasaan BEM.
“Sekarang dalam peringkat akhir untuk kita buat pindaan. Pindaan ini adalah untuk kita memperkukuhkan dan memperbaiki kekurangan daripada akta sedia ada,” katanya dalam sidang akhbar pada Konvensyen Jurutera Kebangsaan (NEC) 2026 di Hotel Royale Chulan, di sini hari ini.
Menurut Alexander, kerja kejuruteraan profesional yang memerlukan pendaftaran perlu dilaksanakan individu berdaftar dan mempunyai kelayakan sewajarnya untuk memikul tanggungjawab berkenaan.
“Ini bukan soal mewujudkan peraturan semata-mata. Ia berkaitan keselamatan awam, akauntabiliti profesional serta memastikan kerja kejuruteraan dilaksanakan oleh individu yang mempunyai kelayakan sewajarnya untuk memikul tanggungjawab tersebut.
“Oleh itu, saya ingin menjelaskan pendirian kerajaan bahawa kerja kejuruteraan profesional yang memerlukan pendaftaran mesti dilaksanakan oleh individu yang berdaftar dan mempunyai kelayakan sewajarnya,” katanya.
Tambah beliau, individu yang tidak berdaftar tidak boleh dilantik untuk melaksanakan kerja kejuruteraan profesional yang memerlukan pendaftaran.
“Pendaftaran bukan sekadar keperluan pentadbiran, sebaliknya merupakan perlindungan terhadap keselamatan dan kepentingan awam.
“Sekiranya berlaku ketidakpatuhan, tindakan penguatkuasaan sewajarnya termasuk penalti dan denda jika berkenaan perlu diambil,” katanya. – UTUSAN






