SHAH ALAM: Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa belum menerima permohonan maaf daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan mempertahankan warga asing dalam isu penyasaran subsidi petrol RON95.
Menurut Ahli Parlimen Pagoh itu, isu mohon maaf berkenaan berlaku sudah agak lama dan mungkin sudah tiga minggu.
“Kita ini bukan nak bergaduh apa-apa. Minta maaf itu mengakui itu satu kesilapan dan manusia mesti buat begitu. Malangnya, sampai sekarang ini saya tengok tidak ada apa-apa pun beliau (Anwar) buat (mohon maaf).
“Saya tak dukung. Saya ada akal dan masih ingat lagi. Nanti kita akan bangkitkan lagi, terima kasih ingatkan balik,” katanya pada sidang akhbar Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu Kelapan 2025, malam tadi.
Tambah Muhyiddin, beliau mengetahui Anwar menyatakan mahu menunggu laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Kenapa MCMC mengambil masa yang terlalu lama? Sangat basic (asas), simple issue (isu mudah) pun tak boleh selesaikan atau sudah ada laporan. Ada laporan, Perdana Menteri beritahulah siapa betul, siapa yang tak betul. Kita sudah beri muka, minta maaflah,” ujarnya.
Nexbyte pada 21 Ogos lalu melaporkan Anwar Ibrahim menuntut Presiden Bersatu itu untuk turut memohon maaf atas fitnah dan tuduhan yang dilemparkan kepadanya selama ini.
Perdana Menteri berkata, Muhyiddin sebelum ini banyak melemparkan fitnah terhadapnya sama ada dalam mahupun di luar Parlimen.
Bekas Perdana Menteri itu sebelumnya menuntut Anwar meminta maaf berhubung kenyataan yang mendakwa Muhyiddin mempertahankan warga asing dalam isu penyasaran subsidi RON95.
Susulan itu, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan MCMC akan melaksanakan siasatan berhubung kenyataan yang dikaitkan dengan Muhyiddin.
Anwar memaklumkan masih menunggu laporan MCMC sebelum membuat sebarang keputusan sama ada akan meminta maaf kepada Muhyiddin. – UTUSAN






