KUALA SELANGOR: Sebuah kilang memproses ayam dan daging musnah dalam kebakaran di Jalan Rukun, Bestari Jaya di sini, awal pagi tadi.
Ketua Zon 7 Selangor Utara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Samsol Maarif Saibani berkata, sepasukan 18 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya, Batu Arang dan Kuala Selangor bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pukul 1.41 pagi.
“Pemeriksaan mendapati kebakaran itu melibatkan sebuah kilang memproses ayam dan daging jenis bangunan kelas A. Premis berkeluasan 50 x 100 kaki itu dianggarkan terbakar 80 peratus,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambah Samsol, kebakaran itu berjaya dikawal bomba dan tidak melibatkan sebarang mangsa.
“Operasi pemadaman itu selesai sepenuhnya kira-kira pukul 4 pagi tadi. Punca sebenar kejadian dan anggaran nilai kerugian masih dalam siasatan,” ujarnya. – UTUSAN






