INI bukan kali pertama saya berbicara dengan figura ini. Kali terakhir ketika isu panas melibatkan abangnya, Datuk Seri Azmin Ali. Dia ketika itu berada di London. Kami berbual menerusi panggilan video.
Kali ini kami bertentang mata. Berkongsi cerita yang mungkin jarang sekali orang tahu. Siapa sebenarnya Azwan Ali? Di sebalik mulut lahar dan perangai tak makan saman, ada apa dalam isi hati emasnya.
Walaupun di mata kasar kita, dia kelihatan angkuh, cukup diva. Herdik tidak lepas dari mulut. Namun hakikatnya, dia cukup ramah. Berceloteh gaya orang penuh pengalaman. Berbeza daripada apa yang kita lihat dalam media sosial. Membumi tatkala berbicara, dia seorang ikon yang harus dihormati.
“Saya memang tiada sesiapa dalam hati. Kawan mungkin ramai. Saya sendiri, tetapi tidak sunyi.”
Azwan membuka mulut. Santun berbicara daripada hatinya. Di sebalik topeng ‘angkuh’ yang dimiliki, siapa sangka hatinya kosong tiada berpenghuni. Jiwanya tidak dirantai sesiapa.

Hakikatnya, dia sedar zahir dan batinnya milik Tuhan. Segalanya dia serahkan pada yang Maha Esa. Dia tidak mudah melepaskan tali kepercayaan kepada sesiapa. Semua kerana ‘derita’ yang ditanggung selama ini.
“Memang saya seorang diri, sebab tiada siapa yang layak dipercayai. Tetapi tidak bermakna saya sunyi. Jangan salah faham. Hidup saya tidak sesedih segelintir orang di luar sana. Nampak gah tetapi sunyi, sedih!
“Saya sudah melalui berapa episod hitam yang cukup mengajar diri untuk tidak percaya sesiapa pun. Hanya Tuhan yang ada. Semua saya cerita. Nak cakap apa pun cakaplah, saya tak pandai nak propa,” katanya.
Jarak usia kami memang jauh beza. Ketika dia di puncak kegemilangan, saya baru lahir. Belum mengenal dunia. Namun jelas, populariti Azwan tidak pernah luntur. 31 tahun usia saya, dia masih teguh berdiri.
Terdetik di hati saya, tiadakah episod air mata yang pernah dilalui figura yang cukup terkenal sebagai pengacara hebat. Tiadakah rasa sesal atau sedih yang berkalung di hati?
Perlahan dia memandang mata, dengan riuh suara dan nada tinggi, dia menjawab; Tidak! Air matanya hanya untuk Tuhan, setiap kali usai solat. Baginya, untuk apa dia bersendu sedan kerana manusia, buang masa!
“Allah tahu siapa saya. Ada ramai di luar sana kenal saya. Tiada istilah murung sampai nak bunuh diri dalam hidup saya. Saya masih ada iman. Arwah bapa saya ajar untuk bersabar dan percaya Tuhan,” katanya.
Penangan lagu Cinta Kita 2
Kembali mengacara di pentas Lagu Cinta Kita 2 selepas 25 tahun ‘menyimpan’ bakat, Azwan terkejut dengan penerimaan peminat. Dia seperti ikon pengacara yang didamba semua orang.
Tidak hairan, pujian dan kata-kata semangat masih diterima walaupun sudah dua minggu dia mengacara program tersebut.
“Respons yang saya terima memang lain macam. Seperti seseorang yang turun dari langit kononnya. Sambutan di luar jangkaan saya. Ha kepada yang menghina saya selama ini, See My Level lah!” katanya.
Mahu tunai Haji
Diaju soalan, di tangga usia lebih separuh abad, apa lagi yang mahu dikejar seorang Azwan Ali? Mungkin ada impian yang belum tertunai atau penyesalan yang masih merajai hati?
Tajam renungannya, dia menjawab tiada apa lagi yang mahu dia raih. Cuma ketika ini, dia mahu menunaikan rukun Islam kelima. Mahu menjejakkan kaki ke Tanah Haram menunaikan haji, menyempurnakan rukun.
“Tiada apa lagi saya nak kejar. Saya gembira sekarang. Puas sudah dengan apa yang dimiliki. Saya sudah hidup di London, Paris. Duit tak pernah habis, berkepuk-kepuk. Dipuji, dihina. Cukup.
“Tetapi saya mahu menunaikan ibadah Haji. Saya sudah 10 kali menunaikan umrah, jadi kali ini saya mahu melaksana Haji. Sepatutnya tahun ini, tetapi disebabkan pandemik Covid-19, impian saya ‘dibatalkan’ sementara,” katanya.
“Saya dah puas telan hinaan…”
Berdepan hinaan dan cacian yang maha dahsyat hampir setiap hari, bagaimananya agaknya Azwan menjalani hidup? Apakah hatinya setegar karang di lautan atau dia muak dengan apa sahaja kata nista yang diterima.
Bukan sahaja warganet, malah rakan artis tidak kira senior atau junior seperti turut sama mempersenda dirinya. Tiada rasa hormat atau sebenarnya figura ini adalah satu bahan jenaka semata?
Prinsip hidupnya hanya satu, tidak hidup kerana pujian! Dia tidak mahu dipuji, diangkat hanya kerana nama. Saat dia jatuh kelak, dia dihina dan dicaci. Maka, dia jadi diri sendiri. Hadap semua itu.
“Saya sudah kenyang telan hinaan. Memang saya bukan sesiapa dalam industri, tetapi jangan lupa sumbangan saya. Memang saya seorang yang terus terang, tak pandai nak bodek orang.
“Apa pun jadi, apa pun orang cakap, saya jalan terus. Saya tak kejar gelaran Datuk atau pujian segunung tingginya. Bukan itu yang saya kejar di tangga usia 54 tahun ini,” kata anak kelahiran Kuala Lumpur ini.
Namun jauh di sudut hatinya, dia sudah maafkan semua. Berat hati mahu melepaskan dendam, tetapi itu janjinya pada Tuhan. Relakan segala cemuhan dan hinaan. Dia hanya mahu hidup tenang.
“Susah sebenarnya nak maafkan orang. Hati saya remuk dicaci dan dihina. Tetapi saya maafkan semua. Bukan nak tunjuk baik atau bertaubat, tetapi itu janji saya dengan Allah.
“Saya manusia biasa. Susah sangat nak lupakan remuk di hati. Sakit sangat. Tetapi Allah mengetahui segalanya. Tak mahu ada dendam merantai jiwa,” katanya. – Pancaindera, Mingguan Malaysia.







