INI politik Malaysia pasca Pilihan Raya Umum (PRU-14). Macam-macam boleh jadi. Kerajaan bertukar tak sampai dua tahun, ugut mengugut antara parti politik dan nyaris darurat.
Cadangan darurat muncul selepas Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa beliau ada angka Ahli Parlimen yang menyokongnya untuk membentuk kerajaan. Ini diikuti kemungkinan pembangkang akan mendesak undi tidak percaya terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri pada persidangan Dewan Rakyat yang bermula 2 November.
Setiap hari kalau scroll di media sosial, komen-komen politik ini tidak ada penghujungnya. Walaupun diselang-seli dengan kisah tauke Macau Scam lompat pagar dan artis disiasat kerana terlibat dengan sindiket itu serta kemungkinan Felda perlu membelanjakan berbilion ringgit untuk mendapatkan kembali aset-asetnya yang dipajakkan kepada FGV, namun cerita politik tetap menguasai pasaran.
Apabila bercakap tentang politik sudah tentu kerajaan pimpinan Muhyiddin turut terkait. Selepas isu pengisytiharan darurat selesai hasil campur tangan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu, pentadbiran Muhyiddin diuji pula dengan isu jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM). Pengisian jawatan itu kelihatan seperti menguji setia kawan antara UMNO dan Pakatan Nasional (PN) serta kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri yang menerajui kerajaan sekarang.
Walaupun kepimpinan Muhyiddin dilabelkan sebagai kerajaan pintu belakang dan sebagainya, tetapi ia kerajaan yang mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Seri Paduka Baginda juga telah mengingatkan ahli-ahli politik memberhentikan segera segala politicking yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara sambil menegaskan tidak perlu Ahli-ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu gugat kestabilan kerajaan sedia ada. Namun, titah baginda itu bukan jaminan kepada kestabilan politik negara. Ahli politik dan politicking memang tidak dapat dipisahkan, lebih-lebih lagi dalam situasi politik negara sekarang yang lemah dan rapuh, sentiasa terdedah untuk dimanipulasi oleh sesiapa sahaja yang mahukan kuasa.
Sebab itu sebaik sahaja Yang di-Pertuan Agong mengisytihar darurat ditolak, fokus tertumpu kepada kedudukan Muhyiddin. Ada yang terus menyimpulkan bahawa keputusan itu bermakna Muhyiddin sudah hilang sokongan untuk memimpin negara.
Pada hari berikutnya pertemuan demi pertemuan berlaku antara pemimpin-pemimpin parti politik termasuk antara Muhyiddin dengan pemimpin-pemimpin parti dalam PN dan Barisan Nasional (BN) diikuti dengan mesyuarat khas Kabinet.
Pemimpin BN turut mengadakan mesyuarat bagi menyatakan pendirian mereka sama ada mahu terus menyokong kerajaan Muhyiddin. Ini diikuti pula dengan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO juga berkaitan rapat dengan sokongan kepada Muhyiddin. Iaitu sama ada untuk terus kekal menyokong atau menarik diri daripada kerajaan pimpinan Ahli Parlimen Pagoh itu. Jawatan TPM dikatakan menjadi pertaruhan sama ada UMNO akan kekal menyokong Muhyiddin atau tidak. Malah pada 29 Oktober MT UMNO bermesyuarat sekali lagi dengan tumpuan khusus berkaitan jawatan tersebut.
Walaupun tidak ada jawapan tuntas sejauh mana benarnya dakwaan UMNO menuntut jawatan itu, yang pasti sepanjang minggu lepas, isu jawatan TPM menjadi bualan dan perdebatan di grup-grup WhatsApp dan media sosial. Pelbagai andaian dan hujah diberikan. Media massa juga tidak ketinggalan muncul dengan pelbagai analisis dan cadangan berkenaan jawatan itu. Cuma sekarang jika betul jawatan TPM akan kembali diwujudkan oleh kepimpinan Muhyiddin, siapakah calonnya dan daripada parti mana? Kalau dilihat kepada senarai menteri kanan yang ada dalam Kabinet sekarang sudah tentu ia lebih memihak kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ada dakwaan bahawa Muhyiddin kini sedang menunggu UMNO mencalonkan pemimpin parti itu yang boleh diterima untuk dilantik sebagai TPM. Dan calon itu bukan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Nama-nama yang naik ialah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, Ismail Sabri dan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Namun, Hishammuddin awal-awal lagi mengatakan dia tidak pernah berminat dengan jawatan itu dan tidak ada cita-cita pun untuk menjawat jawatan itu. Tetapi bagaimana kalau dicalonkan? Adakah akan menolak?
Yang pasti di peringkat MT UMNO, mesyuarat pada Khamis lalu yang berakhir pukul 12.30 tengah malam langsung tidak ada perbincangan khusus mengenai calon TPM. Ia sekadar disusuli dengan kenyataan oleh Ahmad Zahid bahawa UMNO akan kekal dalam pemerintahan kerajaan sekarang. Kenyataan yang sudah pasti melegakan Muhyiddin.
Walaupun langsung tidak dibincangkan oleh MT, namun UMNO dikatakan telah terjebak dan termakan dengan naratif dan spekulasi berkaitan jawatan TPM. Kesannya sudah tentu kepada perpaduan dalam parti.
Apabila ada nama dipetik untuk ke jawatan itu sudah tentu akan muncul pihak yang tidak berpuas hati. Jika mereka tidak menentang secara terbuka, pasti ada penentangan secara senyap. Penyokong-penyokong Ahmad Zahid tidak mungkin hanya akan berdiam diri apabila nama Ahli Parlimen Bagan Datok itu dikatakan tidak sesuai ke jawatan itu ekoran kes mahkamahnya. Sebagai presiden parti, beliau tentunya lebih berhak.
Seperti yang bangkitkan oleh penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka, Muhammad Anwar Fahmi Haris Das bahawa apabila nama Mohamad disebut untuk mengisi jawatan itu ia tidak akan disenangi oleh beberapa pihak yang bimbang pengaruhnya akan berkembang.
Ketika kerajaan Muhyiddin kini dilihat akan terus menerajui negara hingga PRU-15, spekulasi jawatan TPM pula memberi kesan kepada perpaduan dalam UMNO. Daripada reaksi selepas mesyuarat MT pada Khamis lalu sudah ada tanda-tanda wujudnya kem-kem dalam kalangan pemimpin parti itu. Rasanya jika tidak dibendung ia akan mewujudkan puak dalam parti yang sudah tentu akan menjejaskan kekuatannya mengharungi PRU akan datang. – Mingguan Malaysia






