WADUH, waduh… baru sahaja dibuka ruang sedikit kepada akar umbi parti-parti yang akan masuk gelanggang pilihan raya umum (PRU), berderu-deru respons yang datang.
Kalau baca Nexbyte sehari dua ini, macam-macam komen berkisar tuntutan, desakan, kemahuan dan kehendak daripada orang Parti Bersatu, UMNO dan Pas pasal kawasan yang ingin ditandingi? Ada ketikanya komen diutarakan seakan `tak ukur baju di badan sendiri’. Sehinggakan meski kalah semua kerusi ditandingi dalam pilihan raya lepas, tetap mahu bertanding. Enggan mengalah, tuntut macam-macam.
Kebarangkalian persaingan merebut kawasan bertanding dalam PRU akan datang ini sengit, agak besar. Berlaga sesama sendiri dalam kalangan parti yang membentuk gabungan. Tidak sahaja Pakatan Harapan (PH) terasa bahangnya, bahkan lebih tular lagi melibatkan antara Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN). Kelmarin, 4 Disember 2020 Menteri Besar Perak Datuk Seri Faizal Azumu disingkirkan melalui usul undi percaya di Dun.
Pertelingkahan buat masa ini yang belum berjangkit ke pusat ibarat ‘ribut dalam cawan’ mengingatkan saya akan mirip adegan dalam filem arahan Allahyarham P.Ramlee.
Dalam filem Nujum Pak Belalang terbitan tahun 1959 itu, dua pelakonnya, Allahyarham Aziz Sattar (Badan) sedang membahagikan barang rompakan (duit syiling) dengan Allahyarham S.Shamsuddin (Nyawa) dalam gua.
Badan: 1 untuk engkau, 1 untuk aku. 2 untuk engkau, 2 untuk aku. 3 untuk engkau, 3 untuk aku. Lepas tiga berapa??
Nyawa: Hentam sajalah…
Badan: Hentam sajalah untuk engkau, hentam sajalah untuk aku. Lepas hentam sajalah??
Nyawa: Bedal daa…
Badan: Bedal daa untuk engkau. Bedal daa untuk aku. Lepas bedal daa??…
GAGASAN POLITIK
Ada orang lama berkongsi dengan saya. Katanya, orang Melayu hari ini mesti bersatu dalam satu gagasan politik yang kuat. Kalau alpa, mereka akan ditelan oleh ‘kumpulan politik minoriti’.
“Kalau nak apapun imbalan, politik secara bersekutu mesti menjadi tunjang dan tulang belakang orang Melayu. Bila ini sudah disepakati, barulah boleh bincang pasal pembahagian kerusi. Jangan mengada-ngada, selesaikan juga masalah perundangan masing-masing.
“Muafakat kita tigo tungku sajarangan. Tiga serangkai ini – UMNO, Pas dan Bersatu – memang ada teori masing-masing. Tapi jangan ada mana-mana pihak mendabik dada kata “parti saya adalah penentu”. Padahal, pengundi yang tentukan nasib mereka,” katanya.
Itu ungkapan pemimpin lama. Mungkinkah di masa depan atau terdekat ini, siapa pemimpin itu yang menjadi ukuran pilihan rakyat. Bukannya mengikut jenama parti atau bilangan kerusi parti tertentu.
Titik tolak pilihan utama pastinya soal `perut rakyat’ dan bersangkutan kemanusiaan. Kalau tidak kena gaya, parti politik senior manapun boleh kecundang.
Diakui, kelihatannya hari ini rakyat lebih berminat dan cenderung melihat siapa yang menjadi pemimpin. Dan di peringkat akar umbi, siapa yang boleh selesaikan Covid-19 daripada parti tertentu yang mahu menjadi juara – mahu jadi abang besar.
Mana-mana pemimpin dalam parti politik yang hadapi isu mahkamah, selesaikan dulu hal masing-masing. Jika tidak, apabila nanti bercakap soal rule of law, ahli parti dan rakyat akan keliru.
Permuafakatan antara UMNO-Pas-Bersatu tidak harus melibatkan frasa `aku nak jadi apa?’ Ia mesti melibatkan komuniti muslim sebagai peneguh kepada majoriti. Siapa? Sudah tentu orang Melayu itu sendiri. Jika faktor majoriti diperlukan untuk tujuan ini, tunjukkan. Kalau tidak, percumalah beri kepada `mereka’. Maka, apa guna kita jadi majoriti begitu?
Kalau diikutkan DAP dan masyarakat Tionghoa, saya percaya mereka cukup menghormati sistem negara yang berlandaskan perlembagaan. Namun bila khalayak bercakap pasal perlembagaan, jangan sekejap ada, sekejap tiada perjuangan ke arahnya. Tenggelam timbul. Dan bila mutakhir ini kita muncul balik, maka itulah prinsip yang harus dipegang – Melayu peneguh majoriti.
PENYAKIT LAMA
Akhirnya, muafakat tiga serangkai inilah – UMNO-Pas-Bersatu – menjadi tulang belakang kepada masa depan negara. Ia ibarat falsafah “Tigo Tungku Sajarangan”, model kepemimpinan yang diterapkan dalam kehidupan bermasyarakat di Minangkabau. Masyarakat itu diibaratkan bejana yang akan dijerangkan di atas tungku.
Tungku selalu tiga, tidak ada tungku yang dua. Gunanya tungku itu tiga supaya yang dijerangkan di atasnya dapat diposisikan dengan baik, tidak miring dan tidak tertumpah.
Dan tungku yang tiga itu diibaratkan Ninik Mamak, Alim Ulama, dan Cadiak Pandai. Masyarakat tidak akan sesat, kacau dan rosak jika tungku yang tiga itu masih tetap bekerjasama dan saling berkolaborasi, – ibarat tiga tungku yang mampu menopang bejana hingga menghasilkan makanan.
Allahyarham P.Ramlee sudah pun beritahu penyakit-penyakit orang Melayu lama dulu. Sekali lagi kita buat silap.
Selagi tak pandai ambil iktibar yang disampaikan P.Ramlee 50 tahun dulu, selama itulah kita hanya pandai gelak bila lihat komedi sinis P.Ramlee di televisyen.
Dan sayangnya kita masih tidak pandai menilai. – Mingguan Malaysia






