
TAK payah pergi ke Aristotle, Plato atau ahli-ahli falsafah Yunani purbakala.
Bukan kita tidak tahu tamadun Yunani pun ranap dan berkecai. Ayuh! Mari kita bersandar kepada kebenaran dan falsafah Melayu. Kalau dibentang seluas alam, kalau dilipat sekecil kuku.
Soalnya mahu atau tidak mahu sahaja kita menerima hakikat bahawa akibat main politik kuasa dan mainan budaya politik yang tidak menentu, bahkan dikusutkan dengan kemunculan pandemik
Covid-19, rakyat jadi keliru. Lantas, meletakkan negara berdepan suasana tidak menentu memasuki gerbang tahun baharu 2021.
Sama ada mahu diakui atau tidak, hakikatnya ialah orang Melayu sekarang lebih terbahagi dan berpecah lantaran politik kuasa. Dan ternyata, perpecahan sekarang tercetus atas soal kepimpinan.
Tahap perpecahan sekarang sebenarnya lebih dirasai kerana jenis perpecahan yang dialami pada masa ini adalah jenis yang menyentuh dan mungkin merosakkan proses kuasa itu sendiri.
Namun, sesuatu yang perlu kita akui ialah orang Melayu gemar berpolitik. Ya! Banyak parti teras Melayu pun tak mengapalah. Empat, enam, lapan, 10, 20. Tapi biarlah politik itu ikut model orang lain – yang terarah dan mereka tahu apa yang hendak digapai untuk manfaat kaumnya.
Terkadang, saya teringat balik ungkapan Allahyarham Prof. Diraja Ungku Aziz. Katanya, semasa dulu-dulu tidak ramai pemimpin Melayu yang garang dan berpendirian teguh. Banyak pemimpin yang kompromi sana, kompromi sini.
“Pemimpin seperti Sir Winston Churchill, beliau tak suka kompromi. Pemimpin seperti Churchill berpendirian tetap dan berani. Soalnya siapa berani korbankan diri?” kata Ungku Aziz.
Ya, andai katalah Perdana Menteri pertama kita, Almarhum Tunku Abdul Rahman tidak mengalah apabila disergah oleh Lee Kuan Yew pada 1965, pulau itu barangkali masih kepunyaan Malaysia hari ini. Ah! betapa sejarah memang diubah oleh tindak tanduk politik adalah suatu kenyataan.
SINGAPURA
Begitupun, kita tidak mahulah apa yang berlaku di Singapura berulang di negara ini. Tapi, lihatlah Singapura – gah sebagai negara yang menjadi pilihan destinasi pelaburan dan tempat tinggal penduduk dunia.
Sesekali kalau ke sana, mengunjungi Geylang Serai yang dahulunya merupakan kampung Melayu, kini menjadi pusat tarikan pelancongan yang hanya mempamerkan rumah-rumah tradisional orang Melayu. Nilai orang Melayu di republik itu bertukar dari penduduk asal kepada etnik ‘eksotik’.
Orang Melayu lama pasti tidak lupa dengan kampung Melayu yang sudah pupus seperti Kampung Glam. Selepas kemenangan PAP (People’s Action Party) pada 1959, Housing Development Board (HDB) yang diperkenalkannya setahun kemudian benar-benar mengubah polisi perumahan di Singapura.
Hasilnya, kebanyakan kawasan perumahan terancang di negara itu didiami lebih 80 peratus kaum berkenaan. Selebihnya siapa?
Waima apa pun, sesuatu isu seharusnya dipersoalkan oleh mereka yang bertampuk politik dan yang sayangkan negara sebagai sayangkan rumah sendiri. Buat apa serambi rumah diberikan kepada orang yang hanya menyewanya, mentang-mentang si penyewanya garang dan pintar!
Dan inilah dikatakan politik Melayu itu harus melibatkan perbuatan meneladani alam sekeliling – manusia dan alam.
Belajar dari yang lampau, memandang kepada yang baik.
TANAH MELAYU
Maka, kalau masih ada ‘isi perut’ mana-mana orang politik yang kaya pengalaman dan masak sepak terajang politiknya, alangkah elok kiranya mereka menggerakkan iniasiatif penyatuan Melayu sejajar dengan penguasaan dalam segala sumbernya.
Hakikatnya, kita orang Melayu sudah tidak ada apapun di ‘Tanah Melayu’ Malaysia ini. Ekonomi sudah dikuasai orang lain. Pendidikan? Mereka juga empunyanya. Kekayaan?
Yang kita orang Melayu ada kini itupun ‘sekelumit’ yang tinggal hanyalah kuasa politik. Dan berdikit-dikit pula dirampas pihak sebelah sana. Berdamailah.
Kita orang Melayu boleh bayangkan alangkah indahnya sekiranya Tun Dr. Mahathir Mohamad boleh duduk semeja memuktamadkan penyatuan Melayu bersama pemimpin-pemimpin utama Melayu yang lain. Ia khususnya Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohamad Hasan, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan pemimpin-pemimpin kanan Melayu dari UMNO, Pas dan NGO lain.
Kalau Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu, Mujahid Yusof, Khalid Samad nak sertai sama pun, lagilah dialu-alukan.
KELIRU
Dalam politik yang terarah, saya lebih tertarik kepada perlunya sistem latihan atau apparentice system dalam parti politik tersebut dan kerajaan – kedua-duanya sama penting. Dari segi amalan, tidak ramai pemimpin tertinggi yang berani menafikan baik dan pentingnya tradisi ini.
Begitupun, kepimpinan sekarang tidak begitu menghiraukan sangat tradisi ini. Pengkelasan pemimpin dan kepimpinan dibuat secara membelakangkan tradisi asuhan ini mengikut desakan politik kuasa masing-masing. Maka muncullah barisan baharu yang tak tentu arah – seolah-olah dunia ini mereka yang punya.
Bak kata pepatah: Berjenjang naik bertangga turun tidak penting lagi dalam program mencipta hierarki kepimpinan pada masa ini. Akibatnya, sebahagian besar kekeliruan politik sekarang dicetuskan oleh pemimpin-pemimpin kategori ini kerana mereka tidak risau tentang budi pekerti dan asam garam perjuangan yang bertatasusila dalam segala perlakuannya.
Waima apa pun, orang Melayu! selamilah ungkapan keramat cendekiawan yang juga bekas pemimpin Pas, Dr. Burhanuddin Al-Hilmi. Ia khususnya dalam mendepani Tahun Baharu 2021 yang penuh getir dan mencabar ini.
Sewajarnya ia menjadi panduan anak bangsa mengenang kejatuhan empayar Melayu Islam Melaka kira-kira 500 tahun lalu di tangan Portugis (1511).
“Di atas robohan kota Melaka, mari kita bangunkan jiwa merdeka…”






