SHAH ALAM: Prof. Dr. Roziah Mohd. Janor berpeluang cerah menduduki kerusi Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin sah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri semalam.
Sebelum ini, pelantikan Roziah yang juga Timbalan Naib Canselor (Akademik) ditangguhkan menerusi satu pemakluman yang diterima beliau pada 6 Ogos lalu.
Memetik sumber dalaman, penangguhan lantikan Roziah sebagai Naib Canselor UiTM selepas didakwa tidak mendapat restu Muhyiddin menerusi Pejabat Perdana Menteri.
“Lazimnya latikan Naib Canselor mana-mana universiti lebih-lebih lagi UiTM biasanya melalui Pejabat Perdana Menteri.
“Proses tersebut difahamkan begitu, sebab penangguhan berlaku disebabkan arahan Pejabat Perdana Menteri.
“Sekiranya Muhyiddin meletakkan jawatan, bermakna penangguhan akan terbatal dan pelantikan akan berkuat kuasa seperti yang termaktub dalam Akta UiTM (Akta 173),” kata sumber itu ketika dihubungi Nexbyte semalam.
Jumaat lalu, akhbar ini melaporkan Perdana Menteri tidak mempunyai kuasa untuk menentukan pelantikan Naib Canselor UiTM.
Sebaliknya Perkara 20 Akta 173 menyatakan kuasa untuk melantik individu ke jawatan nombor satu eksekutif itu adalah di bawah bidang kuasa menteri berkaitan.
Terdahulu, bekas Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad mengumumkan pelantikan Roziah sebagai Naib Canselor baharu UiTM.
Roziah sebelum ini memangku jawatan berkenaan selepas Profesor Emeritus Datuk Dr. Mohd. Azrai Kassim tamat perkhidmatan pada 10 Mac lalu.
Bagaimanapun, kelmarin, Nexbyte turut melaporkan peguam yang juga alumni UiTM, Ahmad Fakhir Abu Samah mempertikai keputusan Noraini apabila menyifatkannya sebagai lantikan secara tergesa-gesa.
Menurutnya, walaupun pelantikan Roziah dikatakan sebagai wanita pertama menjadi Naib Canselor UiTM, namun, sepatutnya dibuat lebih awal, bukannya beberapa hari sebelum Noraini meletakkan jawatan pada 6 Ogos. – UTUSAN






