LONDON: Matheus Cunha tidak dapat diturunkan ketika Manchester United berusaha bangkit selepas melalui minggu yang sangat sukar, kata pengurus Ruben Amorim.
United tewas 1-0 di laman sendiri kepada Everton yang beraksi dengan 10 orang Isnin lalu, menamatkan rekod lima perlawanan tanpa kalah yang sebelum ini menaikkan semangat di Old Trafford.
Skuad Amorim kehilangan Cunha selepas penyerang Brazil itu mengalami kecederaan ketika latihan, menambah lagi ketiadaan penyerang Benjamin Sesko yang cedera lutut.
Kedua-duanya tidak akan dapat diturunkan untuk perlawanan hari ini menentang Crystal Palace, yang mana pertahanan berpengalaman Maguire juga akan terus diketepikan.
“Sesko akan mengambil masa sedikit lagi. Harry juga sama. Saya menjangka Matheus dapat beraksi dalam perlawanan seterusnya (menentang West Ham pada Khamis), bukan yang ini,” kata Amorim.
Ketiadaan Cunha dan Sesko merupakan tamparan besar buat United yang gagal menjaringkan gol dalam empat pertemuan Liga Perdana terakhir mereka menentang Palace.
Skuad Amorim perlu mengembalikan semangat pasukan selepas kekalahan memalukan di laman sendiri kepada Everton yang beraksi dengan 10 orang selepas Idrissa Gana Gueye menampar rakan sepasukan Michael Keane awal dalam perlawanan.
“Ia minggu yang sangat sukar, seperti sepatutnya. Keputusan ini memang berat, kekalahan ini pedih, tetapi proses perlu diteruskan, dan kami perlu fokus pada perlawanan seterusnya.
“Kita perlu faham bahawa terutamanya dalam liga kita tahun ini, segala-galanya boleh berubah dengan sangat cepat, jadi mari teruskan dan fokus pada yang seterusnya,” ujarnya.
United sedang memburu kemenangan kedua di tempat lawan musim ini menentang pasukan Palace yang tidak tewas dalam 12 perlawanan Liga Perdana di laman sendiri.
Skuad Amorim sebelum ini mensia-siakan kelebihan jaringan menentang Nottingham Forest dan Tottenham awal bulan ini sebelum sekadar memperoleh keputusan seri 2-2 dalam kedua-dua perlawanan.
“Sukar untuk menyatakan satu sebab mengapa kami tidak menang di tempat lawan. Ada banyak isu. Kami sedang bertambah baik. Kami perlu tahu bagaimana menamatkan perlawanan untuk meraih kemenangan,” kata pengendali dari Portugal itu, yang pasukannya kini berada di tangga ke-10 Liga Perdana. – AFP/UTUSAN






