LONDON: Sir David Beckham memuji sentuhan pengurus Manchester United, Ruben Amorim selepas The Red Devils kembali ke landasan kemenangan dengan menundukkan Crystal Palace 2-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Selhurst Park, semalam.
United menamatkan kemarau tiga perlawanan tanpa kemenangan apabila bangkit daripada ketinggalan hasil jaringan awal Jean-Philippe Mateta, sebelum Joshua Zirkzee dan Mason Mount menghadiahkan tiga mata berharga menerusi dua gol pada separuh masa kedua.
Kejayaan itu menyaksikan United mendaki ke tangga ketujuh liga, hanya tiga mata di belakang Aston Villa di kedudukan keempat, serta empat mata di belakang Manchester City yang berada di tempat kedua.
Keputusan itu, memberi isyarat jelas kebangkitan skuad Amorim selepas permulaan musim yang tidak memberangsangkan.
Beckham, yang ketika itu menghadiri Grand Prix Qatar bersama rakannya Gary Neville berkata kepada Sky Sports bahawa beliau melihat perkembangan positif dalam permainan United.
“Saya nampak tanda-tanda pengurus sedang memulihkan pasukan. Dia melakukan beberapa perubahan dan kini kita mula melihat keputusan lebih baik.
“Masih jauh perjalanan dan ada beberapa perlawanan di mana prestasi United tidak begitu baik,” katanya.
Kemenangan tersebut sekali gus mengembalikan keyakinan dalam kem United yang sebelum ini sering menerima kritikan hebat susulan aksi tidak konsisten.
Zirkzee, yang menjaringkan gol kemenangan, turut mendapat pujian atas komitmen dan profesionalismenya dalam skuad itu.
Dengan jadual padat menanti, Amorim kini berdepan tugas memastikan rentak positif dapat dikekalkan, selain memastikan tonggak utama kekal cergas menjelang perlawanan penting akan datang. – AGENSI/UTUSAN






