MANCHESTER: Pengurus Manchester United, Ruben Amorim meluahkan kekecewaan terhadap kegagalan pasukannya mengekalkan fokus apabila sekali lagi mensia-siakan kelebihan sebelum terikat seri 4-4 menentang Bournemouth di Old Trafford, semalam.
Amorim hampir pasti meraih kemenangan berharga apabila Matheus Cunha meledak gol pada minit ke-79 untuk meletakkan United di hadapan 4-3, namun kegembiraan itu tidak bertahan lama.
Pemain gantian berusia 19 tahun, Eli Junior Kroupi muncul wira Bournemouth apabila menyamakan kedudukan pada minit ke-84, sekali gus menyaksikan kali ketiga United melepaskan gol pendahuluan untuk keluar sebagai pemenang.
Lebih memeritkan, perlawanan itu dianggap antara persembahan terbaik United musim ini, namun barisan pertahanan mereka tetap rapuh apabila dibolosi empat kali di laman sendiri.
“Ia amat mengecewakan, kami benar-benar kecewa. Keputusan sepatutnya sangat berbeza. Sekali lagi, enam minit pada separuh masa kedua, sama seperti perlawanan menentang Nottingham Forest (seri 2-2), kami hilang tumpuan dan mereka menjaringkan dua gol.
“Kami berjaya bangkit, menjaringkan dua gol semula, tetapi selepas itu kami sepatutnya menamatkan perlawanan,” kata Amorim.
Pada aksi itu, United jelas menguasai permainan dengan melakukan 17 percubaan ke arah gawang Bournemouth pada separuh masa pertama, namun kegagalan menyudahkan peluang dihukum lawan yang lebih klinikal.
“Kami mendominasi dan mencipta begitu banyak peluang. Sepatutnya kami memasuki separuh masa dengan keputusan yang berbeza.
“Pada akhirnya kami layak mendapat lebih. Penyokong di Old Trafford mahu kemenangan, tetapi mereka juga teruja melihat pasukan bermain bola sepak yang baik. Kami melakukannya dengan baik pada beberapa ketika,” ujarnya.
Menurut Amorim, masalah utama pasukannya bukan berpunca daripada aspek taktikal, sebaliknya kelemahan mental ketika mengawal tempo dan momentum perlawanan.
“Ada banyak perkara positif, tetapi juga banyak perkara yang perlu diperbaiki. Kadangkala kami tidak memenangi perlawanan kerana perkara kecil.
“Ia bukan soal empat, tiga atau lima pemain pertahanan. Ia tentang perincian, memahami momentum perlawanan dan menjadi lebih klinikal,” katanya. – AGENSI/UTUSAN






